Tanah pusaka terbiar di Perak membimbangkan

Iklan
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Perasmian Majlis 'Amanat Cikgu Saarani' sempena Program Wacana Perak Sejahtera 2030 dan Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Peringkat Antarabangsa 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto Bernama

IPOH - Satu kaedah baharu perlu diwujudkan bagi mempercepatkan pengurusan tanah pusaka terbiar di Perak yang berada pada tahap membimbangkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kajian mendapati, tanah-tanah pusaka terbiar ini tidak dapat dibangunkan kerana berlaku masalah pemilikan disebabkan penama telah meninggal dunia.

Iklan
Iklan

"Saya tiada angka sebenar, tetapi sangat luas, ke mana juga kita pergi tanah itu nampak ditumbuhi lalang. Bila semak memang itu tanah terbiar, tetapi bukan kerajaan punya.

"Kita dapati tanah itu ada tuan, tetapi masalahnya tanah pusaka yang sudah berlapis-lapis dan belum disempurnakan bicara kuasa atau diambil alih oleh pemilik baru," katanya kepada pemberita sempena program Amanat Cikgu Saarani Wacana Perak Sejahtera 2030 serta Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Atlet Negeri Perak di Dewan Serbaguna di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

Iklan

Saarani berkata, masalah yang berlaku menjadi kekangan kepada beberapa agensi lain termasuk Felcra, Risda, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan koperasi-koperasi pekebun kecil yang mahu membangunkannya sebagai input pertanian.

Katanya, atas faktor itu, kerajaan negeri menyarankan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) membuat satu kaedah atau prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk mempercepatkan proses pindah milik.

Iklan

"Katakanlah tanah itu ada tiga lapis (generasi) daripada datuk, bapa dan anak, generasi pertama telah meninggal dunia meninggalkan empat anak dan dijadikan keadaan ada kalangan generasi kedua itu sudah meninggal dunia menjadikan proses (pindah milik) ini tidak selesai.

"Sebab itu kena ada satu kaedah baru supaya mempermudahkan proses ini. Lagi cepat dipermudahkan, banyak tanah terbiar dapat dibangunkan secara sah," katanya.