PUTRAJAYA - Sesi sidang Parlimen kali ini menyaksikan satu sejarah tercipta apabila 25 rang undang-undang (RUU) berjaya diluluskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang tersebut berkait rapat dengan kestabilan negara, ekonomi dan kebajikan rakyat dan melibatkan pelbagai aspek seperti kewangan, pertanian, industri makanan, sumber manusia, pelancongan, jenayah, kehakiman, pertahanan serta kepolisan.
"Antara undang-undang dianggap mempunyai kepentingan kepada semua rakyat dan negara adalah RUU Pindaan perlembagaan Larangan Ahli Bertukar Parti diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara," katanya.
Katanya, turut diluluskan adalah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di bawah Kementerian Tenaga dan
Sumber Asli, Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) 2021 di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 (KDN) Akta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 di bawah Jabatan Perdana Menteri, Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, RUU Antigangguan Seksual 2021 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Akta Racun (Pindaan) 2022 dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Tiga RUU di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) diluluskan adalah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022,
Sistem Insurans Pekerja (Pindaan) 2022 di dan RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Wan Junaidi berkata, terdapat sembilan usul dibahas di Dewan Rakyat dan hanya satu telah dibahas di Dewan Negara pada 27 Julai iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Ini adalah selaras dengan peruntukan dalam akta itu sendiri.
Semua RUU diluluskan akan menjalani proses sewajarnya sebelum ia dikuatkuasakan melalui undang-undang dan penguatkuasaan,” katanya.