PONTIAN - Tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 8 Oktober ini, yang tular di media sosial hanya spekulasi yang timbul apabila penggal pentadbiran kerajaan bakal tamat tahun hadapan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada siapa yang dapat memberikan tarikh sebenar PRU15 akan diadakan melainkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Itu spekulasi yang berpanjangan, tiap-tiap minggu ada sahaja spekulasi sehingga Perdana Menteri bubarkan Parlimen.
"Apapun, kita jangka (tarikh PRU15) tidak akan lama lagilah. Kalau sampai bulan lima tahun depan, itu dah lengkap lima tahun," katanya.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Kibaran Jalur Gemilang Peringkat Parlimen Pontian di Dewan Muafakat Sungai Pinggan Benut di sini pada Rabu.
Sebelum itu, tular tarikh penting PRU15 iaitu pembubaran Parlimen 1 September, taklimat petugas PRU pada 11 hingga 15 September, penamaan calon 25 September dan hari mengundi 8 Oktober.
Dalam pada itu, Ahmad secara peribadi memberi pandangan PRU15 lebih baik diadakan dalam tempoh terdekat.
"Kita harap lagi cepat lagi baik. Itu pandangan saya secara peribadi, malah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Ahad lalu turut dilaporkan berharap PRU15 diadakan tahun ini juga.
"Yang penting bagi kita adalah persiapan rapi untuk berhadapan PRU15. BN juga akan menyelesaikan baki pemukiman negeri membabitkan Johor (minggu ini), Melaka (Ahad), Perak (Isnin) dan diakhiri Pahang, hujung minggu depan," katanya.