KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang bekas jurujual kereta menipu tiga pelanggannya, dalam urusan jual beli kereta Toyota mencecah hampir RM100,000, bermula Februari lalu membawa padah apabila dia dipenjara setahun, dua sebatan dan denda RM1,000 oleh dua Majistret berasingan pada Rabu.
Rizal Othman, 44, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nadia Othman dan Aina Azahra Arifin.
Di hadapan Majistret Nadia, hukuman penjara setahun, satu sebatan dikenakan terhadap pemuda itu dan denda RM1,000 manakala penjara setahun serta satu sebatan oleh Majistret Aina Azahra.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara 14 hari jika gagal membayar denda tersebut dan pemenjaraan bermula daripada tarikh tangkap, pada 5 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu tiga pelanggannya, dengan memperdayakan mereka dalam urusan untuk mendapatkan dua kereta jenis Toyota Veloz dan satu Corolla Cross.
Tertuduh dengan curangnya mendorong tiga mangsa itu menyerahkan wang keseluruhan berjumlah RM92,308.50, yang mana mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya mengetahui tertuduh tidak boleh mendapatkan kereta-kereta tersebut.
Kesalahan didakwa dilakukan di tiga ruang pameran syarikat jualan kereta di Sentul, di sini antara 13 Mei hingga 30 Julai lalu.
Atas pertuduhan itu dia dituduh bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, dan sebat, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi dan Nidzuwan Abd Latip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.