SHAH ALAM - Pemuisi diseru untuk mendapatkan tunjuk ajar daripada guru-guru bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri masing-masing.
Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh berkata, kekuatan dan kekurangan seseorang pemuisi itu dapat dilihat melalui tunjuk ajar guru yang membimbing mereka.
Menurutnya, kaedah pembelajaran secara terus itu akan membuahkan hasil yang lebih berkesan.
"Sebab itu, saya mencadangkan agar diadakan kumpulan kecil untuk berbincang tentang karya sendiri, yang kelak akan ditemui di mana kekuatan dan kekurangannya.
"Saya sendiri belajar daripada penyair dan guru di mana guru saya di Amerika Syarikat (AS) melihat setiap perkataan saya, mencatat yang mana baik, kurang baik, sesuai dan kurang sesuai. Apabila balik, saya mula praktis.
"Orang Melayu tidak biasa belajar daripada orang tua secara terperinci untuk kita tahu di mana salah dan kekuatan kita.
"Biasanya orang Melayu segan untuk melihat karya sendiri, tetapi kita terpaksa buat untuk mencapai karya yang lebih baik" katanya ketika berucap dalam program 'Santai Mengopi, Mengunyah Puisi' anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) di kediaman beliau di Impiana Resort pada 7 Ogos lalu.
Muhammad turut berkongsi tentang karya bangsa Melayu yang cantik setanding bangsa-bangsa lain di dunia.
Ujarnya, kira-kira satu pertiga daripada usia beliau diisi dengan kembara mencari pengetahuan dan pengalaman di luar negara.
"Dulu saya banyak berada di luar negara. Saya ingin menjadi Orang Putih, melihat negeri mereka.
"Tapi Orang Putih tidak pernah beritahu kita. Cantiknya secantik sastera Parsi dan Arab. Lalu saya pun kembali kepada fikiran Melayu dan baca buku-buku Melayu. Saya juga menikmati bahan ukiran kayu hasil tangan Melayu yang saya sukai" katanya.
Dalam pada itu, katanya, suasana yang tenang amat penting dalam proses penciptaan karya.
Luah Muhammad, ketenangan yang diperoleh ketika berada di kediamannya selama beberapa tahun membolehkan beliau menghasilkan beberapa karya.
"Selamat datang ke kampung saya. Saya berada di sini sudah beberapa tahun dan tempatnya selesa kerana ada banyak oksigen dan saya boleh bernafas lebih lapang.
"Sudah ada beberapa buku yang ditulis di sini dan saya rasa ketenangannya sangat membantu dan membenarkan saya melalui lorong yang diinginkan" katanya.
Beliau turut mengakui pernah menghadapi keadaan yang mengganggu fikirannya semasa ingin menulis.
Justeru, beliau bersyukur keadaan rumahnya yang terletak di kawasan yang dipenuhi metafora membantu memberikan ketenangan kepadanya.
"Alhamdulillah, semuanya membantu untuk metafora. Pokok-pokok gelugor, durian, anggerik dan macam-macam lagi yang menjadi metafora saya.
"Datuk dan nenek kita sangat pandai memerhati alam, sehingga boleh menjadikan metafora sebagai bandingan dalam bentuk puisi,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Pemuisi, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, program santai yang dihadiri seramai 30 orang pemuisi itu diadakan bertujuan merapatkan hubungan mesra ahli Pemuisi dengan Muhammad yang juga merupakan Penasihat persatuan.
"Terima kasih juga kepada Muhammad Salleh dan isteri yang menyambut usaha Pemuisi mengadakan program 'Santai Mengopi, Mengunyah Puisi' di kediaman mereka,” katanya.
Antara pemuisi yang hadir termasuklah, A Ghani Abdullah, Marzelan Md Jusoh atau nama penanya Perindu Seni, Harlym Yeo, Ijamala MN, Yanz Hamzah, Maslinah Yusof, Mohamad Nasser Mohammed, Man Bakri, Pena Permai, Amir, Muhammad Abu Bakar dan Emilia Murni.