KUALA LUMPUR - Seramai 13 individu termasuk Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir untuk dirakam keterangan berhubung Protes Mana Kapal LCS?, setakat Rabu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kesemua individu berkenaan telah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sepanjang minggu ini.
"Setakat hari ini, kita sudah memanggil 13 individu untuk diambil keterangan berhubung perhimpunan itu.
"Kita sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu dan melihat jika ada individu lain akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Muar itu dilihat tiba di IPD Dang Wangi, di sini sekitar jam 3 petang sebelum dilihat keluar selepas selesai memberi keterangan kira-kira satu jam kemudian.
Difahamkan sembilan lagi individu turut hadir ke IPD tersebut pada Rabu termasuk Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi; Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan dan aktivis, Siti Kassim.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan seramai 13 orang individu termasuk penganjur, ahli politik dan mahasiswa yang dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan 'Protes Mana LCS pada Ahad akan dipanggil untuk dirakam keterangan pada Rabu.
Pada Ahad, media melaporkan perhimpunan yang dihadiri kira-kira 100 orang bermula jam 2 petang itu turut dihadiri Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Howard Lee; Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.