UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) diingatkan tidak memandang mudah cabaran Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila kedua-dua pasukan berentap pada aksi separuh akhir temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.
Itu peringatan diberikan pengendali UiTM, Mohd Yazli Yahya yang mengakui UPM mampu melakukan kejutan kerana anak-anak buahnya terlalu mendabik dada dalam pertemuan di Padang Turf Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Walaupun prestasi UPM di Liga IPT sebelum ini kurang memberangsangkan, namun persembahan mereka di temasya ini sedikit berbeda.
"Malah mereka menunjukkan peningkatan prestasi yang boleh dikatakan agak bagus sepanjang beraksi di temasya kali ini.
"Jadi saya harap pemain UiTM dapat mengekalkan momentum permainan ketika beraksi pada peringkat kumpulan dan kekal kepada corak permainan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.
UiTM mara ke separuh akhir SUKIPT 2022, selepas menewaskan UPSI 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan A sekali gus menjadi juara kumpulan.
Gol UiTM dijaringkan Muhammad Harith Akif pada minit ke-28, Muhammad Mirza Malik (63') dan Muhammad Zharif Nazhan Refli (65').
Ketika ditanya perkembangan semasa skuad kendaliannya, Mohd Yazli mengakui lega apabila kesemua pemainnya bebas kecederaan dan boleh diturunkan pada perlawanan separuh akhir.
"Alhamdulillah, kesemua pemain bebas dari kecederaan dan tiada di antara mereka yang dikenakan penggantungan.
"Jadi saya dan pasukan kejurulatihan kini sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyiapkan pasukan menjelang aksi separuh akhir nanti,” katanya.