MELAKA - Bermula secara kecil-kecilan membuat kek dari rumah, kini seorang wanita dari Kampung Gadek, Alor Gajah boleh tersenyum lebar apabila penat lelah selama ini berbaloi apabila memiliki perniagaan kek yang semakin dikenali ramai.
Dek kerana minat, pemilik perniagaan kek dan roti, Izz Cakery, Fazilia Abu Hassan, 35, yang sebelum ini bekerja di bahagian pentadbiran sebuah kilang di Alor Gajah sanggup meletakkan jawatan pada tahun 2010 demi memberi tumpuan dalam pembuatan kek.
Fazilia berkata, bermodalkan sebanyak RM1,500 yang diperolehi menerusi wang bonus ketika bekerja, dia menggunakan wang itu untuk membeli beberapa peralatan membuat kek termasuk ketuhar bersaiz kecil.
Katanya, beberapa tahun kemudian, dia dipilih sebagai usahawan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan mendapat geran berjumlah RM10,000 bagi membeli kelengkapan dan peralatan niaga.
"Di awal perjalanan ini, saya mengikuti kelas membuat kek di Giat Mara selama enam bulan dan pernah menjadi pelajar terbaik sebelum ditawarkan untuk menyambung pengajian enam bulan lagi di tempat sama.
"Selepas tamat pengajian, saya tidak putus asa dan timba lagi ilmu kemahiran sebagai pelajar sambilan di Kolej Komuniti Kota Melaka dalam bidang yang sama agar dapat menghasilkan kek berkualiti kepada pelanggan,” katanya anak bongsu daripada dua beradik itu.
Cabaran penjual kek Bukan mudah menjadi senang, namun titik peluhnya selama ini berbalas selepas berjaya melebarkan sayap perniagaan selepas berpindah operasi di sebuah kedai di dalam Kampung Gadek.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia tidak pernah menyesal dengan tindakannya berhenti kerja, meskipun pada awal permulaan sukar untuk mendapat ramai pelanggan namun berkat kesabaran dan sentiasa mempromosikan perniagaan di media sosial Facebook, akhirnya ramai pelanggan yang membeli keknya hingga ke hari ini.
"Pernah juga kek yang telah siap dekorasi terjatuh ketika dalam perjalanan menghantar, selain peti sejuk yang menempatkan pelbagai kek tidak berfungsi menyebabkan kek yang disimpan rosak.
"Namun semua itu saya anggap dugaan dalam bidang ini dan mengajar saya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya.
Kata Fazlilia, dia bersyukur suaminya Mohd Azahari Mohd Yusof, 35, dan keluarga sentiasa memberikan semangat serta dorongan untuknya terus berjaya.
Kek bajet jadi pilihanBiarpun dibebani dengan kenaikan harga bahan mentah dan peralatan kek, namun Izz Carey tidak ketinggalan menjual kek bajet dengan harga RM19 dan RM15 sekiranya ada promosi seperti hari raya.
Fazilia berkata, dia masih lagi mengekalkan harga itu kerana kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan B40, malah lokasi kedainya yang terletak di kawasan kampung tidak sesuai untuk dia menaikkan harga.
Katanya, dia merancang untuk mempelbagaikan lagi kedai kek itu dengan menambah kafe yang dilengkapi barista dan tempat pelanggan bersantai di tingkat atas kedai.
"Harap dapat memperluaskan cawangan Izz Cakery di tempat lain pada masa akan datang,” katanya.