Jangan main-main, makan pun boleh jadi 'berdosa'

Iklan
Bersederhana dan ikut sunnah Rasulullah SAW, makan sebelum lapar dan berhentilah sebelum kenyang. Foto hiasan

PETANG semalam, Merak Jalanan menonton program Bersama Johan Jaaffar di YouTube Sinar Harian. Lain daripada kebiasaan. Kali ini Tan Sri Johan Jaaffar tidak undang ahli politik atau tokoh kenamaan, sebaliknya seorang pesakit kanser.

Perkongsian pendakwah bebas itu yang dikenali sebagai Ustaz Hanafi memang agak menakutkan bagi seorang pencinta makanan dan kuat ‘melantak’ macam Merak Jalanan.

Iklan
Iklan

Didiagnosis sebagai pesakit kanser limfoma tahap 4 pada 2017, kisah bagaimana Ustaz Hanafi mula dihimpit penyakit tersebut sangat menginsafkan.

Katanya, dia sendiri tidak percaya diuji dengan penyakit kanser kerana sering mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif.

Iklan

"Walaupun bergerak cergas, saya suka sangat makan stik dan makanan segera. Sudahlah ambil makanan tak berkhasiat, jamu selera waktu lewat malam. Saya juga gemar minum air berkarbonat,” kongsinya kepada Johan.

Sedikit mengusik, Johan berkata, ramai orang suka amalan makan begitu tetapi tidak pula kena kanser.

Iklan

Jawab Ustaz Hanafi:"Kerana saya makan dengan kadar yang banyak!”Ustaz Hanafi juga bercerita bagaimana tubuh beliau bertukar menjadi kurus kering, selain demam berpanjangan dan darah tidak berhenti-henti keluar ketika batuk serta buang air besar sebelum disahkan menderita kanser limfoma.

Iktibar daripada perkongsian tersebut, berpada-padalah ketika menjamu selera dan jangan turutkan perasaan sampai perut berasa sempit!

Usah juga terikut-ikut gaya pempengaruh media sosial yang buat reviu dengan makan secara lahap semata-mata nak tunjukkan keenakan makanan tersebut.

Tahu tak kita berdosa dengan tubuh badan sendiri sebab menzaliminya dengan makanan tak berkhasiat?

Jadi bersederhana dan ikut sunnah Rasulullah SAW, makan sebelum lapar dan berhentilah sebelum kenyang.