MEMBACA berita tentang Bukit Gambang Resort City (BGRC) di Kuantan, Pahang yang ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meninggalkan sedikit rasa pilu di hati.
Selain ada taman tema air yang sangat menyeronokkan dengan gelongsor dan kolam berombak besar, BGRC juga ada active academy yang menawarkan aktiviti paint ball, flying fox, memanah dan menunggang kuda.
Paling menarik adalah taman safarinya yang terbesar di Malaysia dan memiliki pelbagai haiwan liar yang ditempatkan di dalam hutan berkeluasan 56 hektar.
Agak menyedihkan apabila rakyat Malaysia juga tidak sedar pusat pelancongan itu telah ditutup. Menurut penduduk sekitar, selepas kes Covid-19 reda dan rakyat dibenarkan rentas negeri, ramai yang datang untuk bercuti tetapi terpaksa ‘pusing balik’ apabila membaca papan tanda – temporary closure, see you in 2022.
Tidak ramai juga mengetahui bahawa sebuah kolej beroperasi di BGRC yang dikenali sebagai Kolej Imperia. Kolej tersebut memperkasakan kebolehan pelajar orang kurang upaya (OKU) yang diberi peluang melakukan latihan kerjaya percuma di bawah inisiatif Kementerian Sumber Manusia.
Kebanyakan pelajarnya mendapat latihan kemahiran dalam bidang perhotelan termasuk melibatkan haiwan seperti penjagaan kuda, gajah dan konservasi burung.
Namun, apa nasib kolej berkenaan sekarang dan ke mana perginya anak-anak istimewa itu? Memang banyak persoalan bermain di minda tentang nasib BGRC.
Kita faham banyak pusat pelancongan terpaksa gulung tikar dan tidak dapat bertahan apabila Covid-19 melanda serta PKP dilaksanakan, namun apabila ia menimpa sebuah nama besar seperti BGRC, memang agak mengejutkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin turut mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya juga bingung apa sebenarnya yang berlaku dan akan berbincang dengan wakil syarikat untuk perancangan seterusnya.
Semoga BGRC dapat dipulihkan seperti sediakala dan kegemilangannya dikembalikan.
Kita tidak mahu satu lagi ‘Mimaland’ wujud di negara ini apabila pusat pelancongan terkemuka hanya tinggal memori indah dengan bangunan-bangunan terbiar didiami penagih dadah dan menjadi lubuk pemburu kisah mistik!