Keputusan tolak permohonan Najib hakis integriti badan kehakiman

Iklan
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan bukti tambahan berhubung peranan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dengan Syarikat SRC International Sdn Bhd didakwa boleh menghakis integriti badan kehakiman.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO bertegas untuk tidak sesekali mencampuri urusan mahkamah namun percaya bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga mesti dilihat telah dilaksanakan.

Iklan
Iklan

"Walhal beliau (Mohd Nazlan) juga adalah hakim yang menjatuhkan hukuman ke atas Najib dalam kes bersabit syarikat yang sama.

"Sudah menjadi satu amalan etika am kehakiman di seluruh dunia bahawa mana-mana Hakim yang sedang mendengar sesuatu kes, jika mendapati ia sedang berada di dalam keadaan konflik kepentingan dengan kedudukannya samada semasa atau sebelum menjadi seorang hakim, perlu mengecualikan dirinya dalam mendengar apatah lagi memutuskan kes tersebut.

Iklan

"Lebih parah lagi jika ada sebarang cubaan untuk menyembunyikan fakta penglibatan yang terkait dengan konflik berkepentingan sejak dari awal proses penghakiman dijalankan,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Khamis.

Pada Selasa, cubaan pasukan pembelaan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan untuk menangguhkan perbicaraan berhubung rayuan akhir kes penyelewengan danan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd menemui jalan buntu, apabila ia ditolak Mahkamah Persekutuan.

Iklan

Ulas Ahmad Zahid, UMNO memandang berat pendedahan berkenaan tuduhan penglibatan Mohd Nazlan dalam penubuhan SRC International Sdn Bhd.

"Kedudukan Mohd Nazlan sebagai peguam dan setiausaha Maybank pada tahun 2006 sudah tentu memberikan akses besar kepada beliau dalam isu pentadbiran bank berkenaan.

"Termasuklah bagaimana wang RM42 juta iaitu sebahagian daripada RM140 juta yang dipinjamkan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development boleh dipindahkan ke akaun Najib, yang akhirnya menjadi punca dakwaan ke atas beliau,” jelasnya.