KETUA jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak menganggap pasukannya menunjukkan persembahan yang baik berbanding beberapa perlawanan sebelum ini, walaupun sekadar seri 1-1 menentang Sabah FC dalam perlawanan Liga Super pada malam Rabu.
Beliau berkata, hal itu boleh menjadi pemangkin untuk skuad Sang Kenari mencatatkan keputusan yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya selepas prestasi tidak menentu sebelum ini.
"Keputusan malam ini (Rabu) adalah petunjuk positif kepada pemain walaupun ada pemain utama tak diturunkan kerana cedera. Semua pemain yang diturunkan telah memberikan komitmen yang jitu dan menunjukkan corak permainan semakin baik.
"Ia permainan yang bukan mudah tapi pasukan tekad untuk menang dan pemain bermain dengan baik sehingga mencipta tiga peluang, namun gagal terjemahkan dengan gol. Inilah bola sepak, kita kena melihat ke hadapan dan berusaha memperbaiki kelemahan,” katanya.
Aidil Sharin berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan itu di Stadium Darul Aman di sini, malam Rabu.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Aidil Sharin berkata beberapa pemain muda yang diturunkan kembali menunjukkan keserasian sehingga berjaya mendominasi permainan terutama pada separuh masa pertama.
Beliau berkata, mereka juga bermain dengan teratur dan berdisiplin sehingga berjaya menguasai banyak posisi dan melancarkan serangan berbahaya ke atas gol pasukan lawan.
"Perlawanan ini juga mencabar dan babak pertama kami bermain dengan baik dan lancar, berjaya mendominasi permainan, namun babak kedua kami hilang konsistensi. Apapun prestasi pasukan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, pengendali pasukan Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan pemainnya dalam perlawanan malam tadi.
Beliau berkata, pemain yang diturunkan juga berjaya mengawal permainan dan mencipta banyak peluang, namun beberapa serangan yang dihasilkan tidak berkesan dan gagal disempurnakan dengan baik.
"Bila Kedah dapat gol pada minit awal permainan sudah tentu ia mengubah corak permainan kita tapi kami terus berusaha mencari gol terutama pada separuh masa kedua yang akhirnya berjaya diperoleh pada penghujung permainan,” katanya.
Dalam perlawanan itu, penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit kelima, namun penyerang gantian Sabah Muhammad Farhan Roslan menyamakan kedudukan enam minit sebelum perlawanan tamat. - Bernama