IPOH - Tindakan kompaun sehingga RM250 akan dikenakan terhadap pemilik premis perniagaan di bandar Ipoh yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kompaun tersebut selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 Seksyen 107(2) yang menjadi syarat pelesenan untuk premis mengibarkan bendera negara ketika sambutan diraikan.
Menurutnya, setakat ini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengeluarkan lebih 6,000 notis pemasangan bendera kepada premis-premis berkenaan dan akan diedarkan bermula Khamis.
"Notis pemasangan bendera kepada premis perniagaan ini kita edarkan bermula hari ini (Khamis) dan sekiranya notis itu tidak dipatuhi, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM250.
"Perkara ini memang sudah termaktub di bawah syarat-syarat lesen yang mengkehendaki pemasangan bendera negara sebagai sebahagian syarat pelesenan, jika tidak dipatuhi, denda boleh dikenakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBI di Persiaran Bandaraya di sini pada Khamis.
Rumaizi bagaimanapun memaklumkan, setakat ini MBI belum mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis perniagaan bagi kesalahan itu.
Katanya, menerusi pemantauan berkala, pemilik akan diberi peringatan dan nasihat, sekiranya masih gagal dipatuhi, barulah kompaun dikeluarkan.
"Biasanya kita tidak pun kompaun, selalu beri nasihat dan peringatan untuk pastikan pemasangan (bendera) ini dibuat," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan kali ini, MBI telah memasang lebih 5,000 Jalur Gemilang di jalan-jalan utama dan sekitar bandar Ipoh.
Ujarnya, usaha itu diharap sedikit sebanyak dapat menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kota untuk menghargai sebuah kemerdekaan.
"Kibaran Jalur Gemilang ini bukan bermakna sekadar kibar secara fizikal, apa yang lebih penting adalah penghayatan nilai dan semangat yang dizahirkan," ujarnya.