KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan SME Bank untuk mengadakan Misi Peningkatan Eksport (EAM) ke Manila, Filipina bermula 22 hingga 26 Ogos ini.
MATRADE dalam kenyataan pada Khamis berkata, misi itu akan melibatkan penyertaan 12 syarikat Malaysia sebagai usaha untuk menyokong pemulihan perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini dalam fasa peralihan ke endemik.
Menurut agensi itu, pada tahun ini, ia akan terus memperkasa dan memanfaatkan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian, agensi, kedutaan asing dan persatuan industri perdagangan untuk menjalankan program berkaitan eksport bagi menyediakan peluang lebih besar kepada komuniti perniagaan Malaysia.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, kerjasama strategik di antara MATRADE, MEDAC dan SME Bank ini menandakan kepentingan sinergi dalam ekosistem perdagangan untuk mengukuhkan daya saing perdagangan Malaysia seperti yang disyorkan dalam Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp).
Rangka tindakan bagi tempoh 2021 hingga 2025 itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Oktober 2021, bertujuan menempatkan Malaysia sebagai negara perdagangan yang dinamik dan unggul melalui pembangunan dan promosi eksport yang mampan.
MATRADE berkata, Filipina sebagai antara destinasi eksport penting Malaysia di ASEAN, menawarkan peluang eksport yang signifikan kepada pelbagai industri.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, eksport Malaysia ke Filipina mencatatkan pertumbuhan 29.5 peratus kepada RM13.85 bilion daripada RM10.69 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Pada 2021, Filipina adalah destinasi eksport kelima terbesar Malaysia di ASEAN dengan eksport berjumlah sehingga RM22.63 bilion, peningkatan 28.5 peratus berbanding 2020.
Sementara itu, MATRADE berkata, pasaran e-dagang di Filipina turut menyaksikan pertumbuhan kukuh dengan meraih jualan sebanyak US$17 bilion pada 2021, disumbangkan terutamanya oleh 73 juta pengguna dalam talian yang aktif.
Menjelang 2025, angka tersebut dijangka mencapai US$24 bilion dengan pertumbuhan 17 peratus.
Pandemik COVID-19 telah memajukan lagi pertumbuhan e-dagang berikutan rakyat Filipina bekerja dan belajar di rumah, sekali gus memperlihatkan potensi besar untuk Malaysia terus memperluas kehadirannya di pasaran negara itu, katanya.
"Inisiatif ini adalah tepat pada masanya berikutan adanya pertambahan permintaan yang didorong peningkatan e-dagang dan jumlah pelanggan yang besar di Filipina. Ini menyebabkan Filipina menjadi destinasi menarik bagi syarikat Malaysia untuk mengembangkan kedudukan di peringkat global,” menurut Abu Bakar.
Pengeksport Malaysia yang berminat untuk menembusi pasaran Filipina boleh menghubungi MATRADE Manila di manila@matrade.gov.my untuk mendapatkan perkembangan terkini pasaran, hubungan niaga dan maklumat mengenai peluang perniagaan.
Hubungi MATRADE di info@matrade.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai bantuan MATRADE bagi menggalakkan eksport Malaysia.- Bernama