Bunuh isteri, bayi: Tunggu laporan bedah siasat, psikiatri

Iklan
Seorang pencuci kapal didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 18 Julai lalu atas dua pertuduhan membunuh isteri dan bayi lelakinya. - Gambar fail Sinar Harian

JOHOR BAHRU - Mahkamah Majistret di sini pada Khamis menetapkan kes pencuci kapal yang didakwa membunuh isteri dan bayi lelakinya di Kampung Bakar Batu di sini pada Julai lalu disebut semula pada 19 September ini.

Kes tersebut ditangguh Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim pada tarikh berkenaan selepas dimohon Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki yang memaklumkan memerlukan masa kira-kira sebulan lagi untuk memperoleh laporan diperlukan.

Iklan
Iklan

Muhammad Arif memberitahu mahkamah, pihaknya masih belum memperoleh laporan kimia, laporan bedah siasat dan laporan psikiatri tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd Adam, 24.

"Hari ini ditetapkan untuk status laporan kimia, bedah siasat dan psikiatri, namun laporan-laporan belum diperoleh. Saya mohon tarikh untuk sebutan semula dalam sebulan," katanya.

Iklan

Menerusi prosiding pada Khamis, tertuduh tidak hadir ke mahkamah, namun dia diwakili peguam Munirah Najihah Shaari yang memberitahu mahkamah bahawa beliau baharu dilantik pihak tertuduh.

Difahamkan, Mohamad Amir Nazri tidak hadir ke mahkamah pada Khamis yang ditetapkan untuk sebutan semula kesnya kerana masih dirujuk di Hospital Permai bagi rawatan psikiatri.

Iklan

Turut kelihatan di luar bilik mahkamah adalah keluarga tertuduh dan mangsa.

Pada 18 Julai lalu, Mohamad Amir Nazri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan membunuh isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef yang berusia dua bulan lapan hari.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di rumah keluarganya dekat Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu di sini pada jam 11.30 pagi dan 11.40 pagi 4 Julai lalu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan insiden tersebut apabila seorang lelaki bertindak mengelar leher isteri dan bayinya sebelum melarikan diri.

Turut tular beberapa video dan gambar memaparkan lelaki berkenaan menunggang motosikal dalam keadaan bogel sejurus selepas insiden itu berlaku.