PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Empat parti dalam gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) akan menggunakan satu logo yang dikenali sebagai Tanah Air pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya akan menghantar permohonan logo dan pendaftaran gabungan itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) minggu hadapan.
"Minggu depan kita akan hantar permohonan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Presiden GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Khamis.
Empat parti gabungan GTA membabitkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).
Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Pejuang menambah, pihaknya yakin pendaftaran GTA akan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
"Pengalaman politik dalam Malaysia ini, dekat dengan pilihan raya kalau UMNO berkuasa nanti dia tidak akan daftar.
"(Contohnya) dalam PRU14 lalu kita tahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sudahpun didaftar, digantung pendaftarannya dan Pakatan Harapan (PH) tak didaftar. Itu strategi mereka.
"Tetapi kami yakin perbuatan yang salah ini tidak akan dilakukan,” tegasnya.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi ini, jika perkara itu berlaku, pihaknya mempunyai Pelan B.
Beliau dalam sidang akhbarnya turut mengumumkan senarai ahli jawatankuasa dalam GTA iaitu Bendahari akan disandang oleh Datuk Mohamed Ismail dari parti IMAN manakala Datuk Nizam Mahshar dari NGO Jawatankuasa Kelangsungan Melayu akan menjawat jawatan Ketua Penerangan.
Bagi Ketua Sayap Wanita, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (Pejuang); Ketua Sayap Pemuda, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (Putra) dan Ketua Sayap Pemudi, Azlina Rajain (Berjasa).