TAIPING - Jelas sekali kuasa viral atau tular media sosial sangat hebat.
Hanya menekan butang 'kongsi' pada laman tertentu ia boleh memberi impak kepada individu sama ada dari sudut positif mahupun negatif.
Baru-baru ini, seorang individu meminta netizen membantunya mencari sebuah beg bagasi yang hilang ketika menaiki sebuah bas ekspres dari KLIA ke Kamunting, Perak.
Namun setelah empat hari, akhirnya beg berkenaan ditemui gara-gara kuasa viral.
Solehin Ismail, 23, dari Taiping, bersyukur kerana beg itu ditemui semula setelah statusnya tular yang akhirnya dibaca oleh individu yang menyimpan beg berkenaan.
Difahamkan, insiden itu berlaku pada Ahad lalu jam 7 malam di Rehat dan Rawat (R&R) Juru.
Katanya, beg seberat 10 kilogram itu telah dipindahkan ke dalam van dari bas sebelum dialihkan ke dalam sebuah lori oleh keluarga tidak dikenali untuk ke Butterworth Pulau Pinang.
Menyedari kehilangan begnya, dia menghubungi syarikat bas ekspres dan membuat laporan polis.
Bagaimanapun syarikat terbabit tidak memberi kerjasama malah memberi pelbagai alasan.
"Saya telefon enam kali pejabat utama syarikat berkenaan namun pihak syarikat tersebut tidak profesional dalam menangani kes ini.
"Saya diminta berurusan dengan tujuh individu berbeza. Seolah-olah semuanya lepas tangan. Saya sendiri diminta telefon individu berlainan tersebut, sedangkan pekerja mereka yang tersilap memindahkan beg saya," luahnya.
Solehin berkata beg itu amat penting kerana mengandungi dokumen seperti sijil asli persekolahan dan pengajian selain maklumat
"Saya menerima panggilan jam 9.30 malam tadi dari seorang individu dikenali Cik Siva mengatakan beg itu berada dengannya.
"Dia juga tidak sangka terdapat satu beg lain berada di dalam lorinya kerana kerja-kerja pemindahan beg dilakukan oleh pekerja syarikat bas," katanya mengambil beg itu di Bukit Mertajam.
Difahamkan, Siva juga berusaha menghubungi syarikat bas malah cuba menghubungi Solehin namun menemui jalan buntu.
"Dia terbaca status saya di Facebook Penang Kini. Alhamdulillah, memang sangat bersyukur beg itu berjaya ditemui. Terima kasih banyak kepada semua," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Dalam pada itu, Solehin yang melanjutkan pengajian di Perancis kini berpengalaman merantau hampir 15 negara Eropah turut memberi cadangan kepada syarikat bas ekspres di Malaysia mengubah sistem pengangkutan kepada lebih efisien.
"Jika di Eropah, semua maklumat penumpang diambil seperti kad pengenalan, nombor telefon dan alamat rumah.
"Sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan, kehilangan barang, penumpang sakit, terlepas bas atau ada kes jenayah, sekurang kurangnya mereka mempunyai maklumat penumpang yang lengkap.
"Lebih baik, jika kita menggunakan sistem tag seperti di Jepun. Hanya mereka yang sama tag sahaja boleh mengambil beg tersebut," katanya.
Beliau yakin Malaysia mampu menjadi negara dan rakyat maju dari segi pemikiran dan infrastruktur prasarana.