MELAKA - Melihat kurangnya penghasilan karya khat di negara ini memberi cetusan idea kepada seorang Cina Muslim untuk memartabatkan seni penulisan itu melalui pameran seni khat dan sejarah Cina Muslim Melaka.
Pameran yang berlangsung di Balai Syed Sheikh Al-Hadi Bastion House, Banda Hilir di sini sehingga Oktober depan membuktikan seni khat masih mempunyai peminatnya tersendiri.
Penulis kaligrafi Cina Muslim, Yusof Liu Bao Jun yang berasal dari Daerah Wilayah Gangsu, China berkata, terpanggil untuk menganjurkan pameran selama dua bulan itu bagi memperkasakan tulisan khat yang selama ini begitu sinonim dengan negeri ini bemula sejak Dinasti Ming dan dibuktikan dengan sejarah kedatangan Laksamana Cheng ke Melaka.
Menurutnya, pengunjung berpeluang melihat 300 koleksi yang dipamerkan seperti seni kaligrafi Islam pelbagai jenis tulisan khat, artifak warisan Cina Muslim seperti seramik yang bertulisan Arab, numismatik Cina bercirikan Islam dan ukiran kayu.
"Pameran ini mempamerkan seni khat klasik yang menunjukkan pelbagai keunikan terdapat dalam tamadun Cina Muslim.
"Ini membuktikan wujudnya tamadun Islam yang hebat suatu masa dahulu," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pameran Seni Khat dan Sejarah Cina Muslim yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Syed Sheikh Al-Hadi Bastion House, Banda Hilir di sini pada Khamis.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Akramuddin Ab Aziz, berkata, pameran berkenaan dapat memperkasakan bidang komunikasi Islam yang menjadikan tulisan jawi sebagai tulisan komunikasi serta digunakan masyarakat terdahulu sebelum ini.
"Inilah peluang untuk orang ramai melihat kekayaan, kewarganegaraan dan ciri-ciri serantau tamadun Islam yang begitu harmoni menerusi perpaduan dibina suatu ketika dahulu," katanya.
Antara karya seni pilihan yang dipamerkan termasuk seramik Cloisonne iaitu bekas rokok tembaga singa dengan tulisan Arab Dinasti Ming.
Selain itu terdapat corak kipas merak pada kain yang tertulis kalimah syahadah di tengahnya serta tulisan emas di empat penjuru mencatatkan nama empat malaikat.