IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengakui sudah ada syarikat telah menunjukkan minat untuk membangunkan sistem pengangkutan rel di bandar raya ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, fokus syarikat itu bagaimanapun adalah untuk mewujudkan rangkaian Autonomous Rapid Transit (ART), bukan Transit Aliran Ringan (LRT) yang menjadi pertikaian umum ketika ini.
Menurutnya, syarikat berkenaan telah diminta membuat kajian menyeluruh mengenai projek itu sebelum menyerahkan laporan lengkap kepada MBI, selewatnya Januari depan.
"Kajian itu kita bagi masa sehingga Januari depan, selepas itu kita akan buat penelitian.
"Sekiranya kita dapat siapkan dengan pelan strategiknya, sudah pasti projek ini boleh dipertimbangkan.
"Pelaksanaannya akan menggunakan kosep Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) menerusi pelabur-pelabur, sama seperti projek yang kita laksanakan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBI di Persiaran Bandaraya pada Khamis.
Beliau berkata, pembangunan ART yang dirancang itu mengguna pakai konsep yang sama seperti projek di Iskandar Malaysia, Johor yang bentuknya seperti gabungan bas, kereta api dan tram.
Katanya, peringkat awal cadangan lokasi untuk pembangunan ART di Ipoh adalah di kawasan pekan lama dan baharu yang mempunyai kepadatan penduduk serta kenderaan agak tinggi.
"Dari aspek populasi pula saya kira tidak ada masalah.
"Kita ambil contoh kemudahan ART di Sarajevo, Bosnia yang ada perkhidmatan tram sedangkan penduduknya sekitar 450,000 sahaja, tetapi di sini kita ada 720,000 penduduk, maknanya Ipoh lebih ramai," katanya.
Beliau berkata, adalah menjadi fokus MBI untuk membangunkan sistem rel bersepadu sebagai pengangkutan awam selari dengan hasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandar Rendah Karbon menjelang tahun 2030.
"Jadi isunya, jika tidak ada LRT, mungkin kita boleh bangunkan ART atau lain-lain sesuai dengan konsep dan model pengangkutan terkini yang ada kerana hasrat utamanya penggunaan rel itu dapat dilaksanakan," jelasnya.
Pada Rabu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kajian mengenai projek LRT di Ipoh perlu dilakukan secara terperinci terutama daripada aspek keperluannya kepada penduduk.
Ini kerana keadaan di bandar raya Ipoh tidak seperti di Kuala Lumpur yang berdepan aliran trafik dan bilangan kenderaan sangat tinggi serta tempat meletak kereta yang terhad.