ATLET olahraga Universiti Putra Malaysia (UPM), Andre Anura Anuar terus garang di arena trek dan balapan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 apabila berjaya meraih emas ketiganya menerusi acara lompat kijang lelaki, hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Andre terus memperagakan aksi cemerlang sebelum mengesahkan kemenangan dengan lompatan emas sejauh 14.99 meter (m).
Pingat perak menjadi milik atlet tuan rumah, Muhammad Sunik Muslimin dengan lompatan sejauh 14.51m manakala, Muhammad Nafeez Akmal Zamri dari UPM melengkapkan podium di tempat ketiga (14.50m).
Atlet berusia 21 tahun itu berkata, dia nyata berpuas hati dengan pencapaiannya ketika ini biarpun mengakui terpaksa bertanding dalam kepenatan akibat jadual latihan yang padat.
"Saya gembira dapat sumbang tiga emas dalam penampilan pertama saya di SUKIPT. Kalau ikutkan UPM sasarkan dua emas saja pada saya, tapi saya dapat bonus satu emas.
"Sebenarnya tadi saya masih banyak lakukan kesilapan dan lompatan kedua saya turut batal dan itu yang perlu saya tambah baik lagi pada masa akan datang.
"Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati juga dengan persembahan tadi walaupun penat sebab minggu ini jadual agak padat dengan latihan,” katanya ketika ditemui sejurus selepas pertandingan, pagi tadi.
Andre yang juga atlet lompat kijang negara di Sukan Komanwel Birmingham baru-baru ini menganggap kejayaaannya itu adalah hadiah buat UPM yang sudah banyak membantu dalam karier sukannya.
"Emas yang saya berjaya capai ini adalah hadiah dan tanda terima kasih buat UPM kerana banyak membantu dalam karier sukan saya ketika ini,” katanya.
Untuk rekod, atlet berusia 21 tahun itu menghadiahkan dua emas buat UPM menerusi acara 4x100 meter (m) lelaki dan lompat jauh lelaki sekali gus membuktikan penglibatannya dalam SUKIPT kali ini bukanlah sia-sia.