KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki merosakkan Jalur Gemilang di laluan pejalan kaki berhampiran bangunan Mitec, Jalan Ampang di sini, membawa padah apabila dia ditahan polis pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian tersebut sekitar jam jam 12 tengah hari, sebelum ditahan sekitar 30 minit kemudian.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku berdekatan Bangunan Mitec pada 17 Ogos jam lebih kurang 12.37 tengah hari.
"Pada 18 Ogos jam lebih kurang 12.30 tengah hari suspek seorang penganggur berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kejadian tersebut tular selepas sebuah klip video berdurasi 38 saat memaparkan seorang lelaki memotong beberapa helai bendera dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok pada Rabu.
Pemilik akaun TikTok berkenaan mendakwa telah menegur perbuatan suspek namun suspek bertindak memarahinya kembali.
Sehubungan itu, Noor Dellhan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti motif di sebalik tindakan suspek tersebut.
"Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada 19 Ogos untuk siasatan lanjut.
"Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.