KUCHING - Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) bersetuju membentuk gabungan politik baharu yang dikenali sebagai Gagasan.
Pengumuman itu dibuat oleh jurucakapnya yang juga Pengerusi Tetap PBDSB, Dr John Brian Anthony dalam sidang media di sini pada Khamis.
John Brian berkata, objektif utama Gagasan adalah untuk memperjuangkan kepentingan Sarawak dan menggalakkan agenda inklusif untuk negeri itu.
"Gabungan ini di luar pakatan pilihan raya; kami tidak hanya fokus kepada pilihan raya umum akan datang tetapi bagi jangka masa panjang.
"Kami digelar 'parti nyamuk' kerana kami adalah parti kecil, dan ia membuatkan beberapa idea kami hilang kerana kami tidak mempunyai suara yang cukup tetapi sekarang kami akan membentangkannya dalam satu kumpulan (gabungan)," tambahnya.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Presiden Aspirasi, Lina Soo, Presiden PBDSB, Bobby William dan Presiden Sedar, Datuk Othman Abdillah.
John Brian berkata, Gagasan akan mengemukakan permohonan pendaftarannya kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak lama lagi.
"Usaha juga sedang dijalankan dengan parti politik tempatan yang lain untuk meminta mereka menyertai atau bekerjasama dengan kami," tambahnya. - Bernama