SHAH ALAM - Produktiviti buruh Malaysia yang diukur daripada segi nilai tambah setiap pekerja meningkat 5.5 peratus dengan nilai RM23,322 bagi setiap pekerja.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertambahan tersebut adalah selari dengan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada 8.9 peratus berbanding lima peratus pada suku pertama tahun ini, manakala jumlah jam bekerja juga meningkat 7.5 peratus.
DOSM turut memaklumkan, jumlah jam bekerja meningkat kepada 8.9 bilion berbanding 8.3 bilion jam bekerja yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.
Sementara itu, bilangan pekerja juga meningkat seramai 15.7 juta orang berbanding 15.6 juta pekerja pada suku sebelumnya.
Bagi produktiviti buruh per jam bekerja mengikut lima aktiviti ekonomi utama, semua sektor merekodkan penurunan kecuali sektor perkhidmatan yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak empat peratus berbanding 1.2 peratus pada suku pertama.
Sektor pembinaan jatuh 5.2 peratus manakala tiga sektor lain kekal dengan trend penurunan iaitu perlombongan dan pengkuarian (-5.1peratus), pertanian (-3.5 peratus) dan pembuatan (-1.9 peratus).
Selain itu, produktiviti buruh per pekerja bagi perkhidmatan dan pembuatan masing-masing meningkat 7.5 peratus dan empat peratus manakala sektor pembinaan naik 2.9 peratus.
Sektor perlombongan dan pengkuarian pula merekodkan penurunan 2.2 peratus dan pertanian jatuh 1.7 peratus.
Dalam pada itu semua sektor mencatatkan peningkatan jumlah jam bekerja iaitu pembuatan 11.3 peratus; pembinaan (lapan peratus); perkhidmatan (7.7 peratus); perlombongan dan pengkuarian (4.8 peratus) dan pertanian (1.1 peratus).
Peningkatan bilangan pekerja pula berlaku di semua sektor dengan pembuatan 127,400 orang (4.9 peratus); perkhidmatan 386,800 orang (4.2 peratus) dan perlombongan serta pengkuarian meningkat 1,300 orang (1.8 peratus).