Cuaca buruk, lima pemancing terkandas 15 jam

Iklan
Lima pemancing yang terkandas berikutan cuaca buruk dan angin kencang diselamatkan di Pulau Batu Berantai di kedudukan 1.4 batu nautika Barat Laut Pantai Remis Jeram pada Khamis.

SHAH ALAM - Lima pemancing melalui detik cemas apabila terkandas selama 15 jam berikutan cuaca buruk dan angin kencang di Pulau Batu Berantai di kedudukan 1.4 batu nautika Barat Laut Pantai Remis Jeram pada Khamis.

Kelima-lima mangsa iaitu Mohd Yazid Basir, 37, Zamri Romli, 39, Mohd Razwan Hussin, 48, masing-masing beralamat dari Tanjong Karang, manakala Hamidi Rohani, 70, dan Tohid Sangon, 65, dari Jeram.

Iklan
Iklan

Ketua Stesen Udara Maritim Subang, Kepten (M) Syed Islam Shahajam berkata, semua pemancing itu berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada jam 10.20 pagi Khamis.

"Pemancing terbabit dijumpai pesawat AW139 yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi sebagai Komander Pesawat bersama pembantu juruterbang, Leftenan komander (M) Azizi Zalkepeli dan tiga lagi kru pesawat termasuk perenang penyelamat.

Iklan

"Semua mereka berlepas dari SUMS pada jam 9.30 pagi menuju ke perairan Kapar, Klang bagi melakukan rutin latihan penerbangan termasuk latihan winching sebelum menjumpai sekumpulan pemancing tersebut 30 minit kemudian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis

Syed Islam berkata, keputusan menyelamatkan lima lelaki itu dibuat oleh juruterbang sebaik menyedari lambaian meminta pertolongan serta keadaan laut bergelora di kawasan itu boleh merisikokan nyawa mereka sekiranya hanyut lebih-lebih lagi pemancing tidak memakai jaket keselamatan.

Iklan

Ujarnya, lima pemancing itu kemudian diterbangkan ke SUMS bagi mendapatkan rawatan perubatan kerana didapati mereka berada dalam keadaan lemah dan trauma.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat barang peribadi mangsa seperti telefon bimbit dan lain-lain peralatan seperti jaket keselamatan dan perkakas memancing dihanyutkan ombak dan arus laut menyebabkan mereka tidak dapat menghubungi sesiapa untuk meminta pertolongan.

"Kesemua mangsa selamat tiba dan telah diberikan rawatan awal oleh lima ambulans dari Hospital Sungai Buloh, Shah Alam dan Klang sebelum mereka dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan susulan," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia menyarankan peminat sukan memancing yang gemar melakukan aktiviti memancing di laut meningkatkan tahap kesedaran keselamatan yang tinggi dan mengambil ikhtibar daripada kejadian tersebut.

"Kita berharap kejadian ini tidak berulang dan sentiasa mengambil langkah berwaspada dan merancang lebih awal aktiviti yang hendak dilakukan.

"Pemancing juga diingatkan agar menyimpan nombor talian kecemasan 999 dan adalah lebih baik untuk memiliki peranti kecemasan peribadi Personal Locator Beacon yang boleh membantu pasukan penyelamat terutamanya Maritim Malaysia bagi mengesan kedudukan pemilik peranti bagi tujuan menyelamat ketika di saat kecemasan," katanya.

Salah seorang mangsa, Mohd Razwan Hussin, 48, berkata, pada awalnya dia dan dua lagi rakannya dari Tanjong Karang dihantar sebuah bot untuk sampai di pulau itu pada jam 7.20 petang Rabu dan sepatutnya pulang pada pagi Khamis.

Bagaimanapun, katanya, bot tersebut tiba dan menurunkan dua lagi pemancing dari Jeram kira-kira jam 8.30 pagi di lokasi kejadian kerana mempunyai urusan lain di Pulau Angsa.

Ujarnya, bot itu tidak muncul dan dipercayai terkandas akibat cuaca buruk sebelum mereka melihat pesawat helikopter Maritim Malaysia berlegar di kawasan perairan tersebut lalu melambai bagi meminta pertolongan kerana bimbang keadaan menjadi lebih serius.