PUTRAJAYA –"Nyawa, kebebasan dan hak saya untuk mendapat perbicaraan yang adil kini terancam,” kata Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media selepas prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan pada Khamis.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika prosiding bermula pada jam 9.35 pagi Khamis, Hisyam Teh Poh Teik selaku peguam utama telah menarik diri daripada mewakilinya.
"Amat malang bagi saya, kerana saya tidak mampu berhujah bagi membela diri saya sendiri, sedangkan saya ada hak untuk hidup serta mendapatkan perbicaraan yang adil.
"Saya ada kes yang kuat dan saya juga percaya bahawa Hisyam dan pasukannya dapat melakukan tugas dengan sempurna jika diberi masa yang mencukupi,” katanya.
Najib berkata demikian selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakilinya bagi prosiding rayuan akhir kes SRC International.
Susulan keputusan mahkamah, Najib berkata akan merekodkan bantahan terhadap prosiding rayuannya itu.
Mengulas mengenai tindakan Hisyam tidak mengemukakan hujahan pada prosiding pada Khamis, Najib berkata, ia dilakukan kerana peguamnya itu tidak diberi masa yang munasabah untuk membuat persediaan.
Menurutnya, kes SRC adalah kes yang rumit dan memerlukan masa yang mencukupi untuk membelanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ini adalah perkara yang serius dan beliau berharap mahkamah dapat mempertimbangkan serta mengambil langkah pembetulan.
Katanya, peguamnya terdahulu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah melakukan tugas dengan baik tetapi gagal di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
"Jadi, saya tiada pilihan kecuali mencari pasukan lain kerana saya mahukan perspektif baharu.
"Disebabkan itulah saya melantik Hisyam dan Datuk Mohd Zaid Ibrahim bersama barisan peguam lain,” katanya.
Semasa prosiding pada Khamis, Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili Najib di saat-saat akhir.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu dengan berpandangan bahawa Hisyam gagal memberikan alasan yang mencukupi untuk menarik diri.
Hisyam kemudiannya menyatakan tidak akan mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir kes itu di hadapan lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Susulan itu, mahkamah mengarahkan prosiding bermula dengan pasukan responden yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram memulakan hujahannya.
Prosiding ditangguhkan pada jam 4.45 petang dan Sithambaram dijangka menyambung semula hujahannya, pagi Jumaat.