JOHOR Darul Ta'zim (JDT) sudah bersiap sedia mencipta kejutan apabila menentang Urawa Red Diamonds dalam aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 di Stadium Saitama, Jepun pada Jumaat.
Malah, kekuatan mental menjadi taruhan utama JDT dalam aksi getir menentang bekas juara dua kali dari Jepun itu yang pastinya mendapat sokongan padu daripada ribuan penyokong mereka sendiri.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio meluahkan rasa kagum dengan kekuatan mental barisan pemainnya walaupun baru sebulan bersama skuad Harimau Selatan bagi menggantikan tempat Benjamin Mora.
Bidoglio juga yakin jika anak-anak buahnya mampu memberikan komitmen tinggi dan fokus 100 peratus sepanjang perlawanan berlangsung, kemenangan mampu memihak kepada mereka.
"Ia pastinya aksi sukar dan kami tahu tentang itu. Sebab itu kami mengambilnya secara serius dengan melakukan persiapan sebaik mungkin dan pemain sudah sedia untuk perlawanan ini.
"Kami menekankan mentaliti pemain apabila kami ada skuad besar dan mentaliti yang kuat. Pemain mempunyai mentaliti yang hebat dan mereka tahu keupayaan masing-masing.
"Jadi, saya telah menekankan kepada setiap pemain tentang pentingnya perlawanan ini dan kami akan memperagakan aksi tersendiri nanti,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Pada April lalu, JDT memahat kejutan dan sejarah baharu bola sepak Malaysia apabila berjaya melangkah ke peringkat kalah mati buat pertama kali selepas menjuarai Kumpulan I.
Begitu pun, tugas mencabar menanti mereka memandangkan Urawa Red pernah menjuarai ACL sebanyak dua kali iaitu pada edisi 2007 dan 2017, selain menduduki tempat ketiga saingan Piala Dunia Kelab FIFA pada 2007.
"Saya sudah meneliti gaya permainan Urawa Red. Mereka gemar memberi asakan awal, jadi perkara utama adalah untuk mendapatkan bola. Jika kami melakukannya, ia akan lebih mudah buat kami,” ujarnya.
Penjaga gol utama JDT, Farizal Marlias pula berharap rentak positif dapat dijelmakan Harimau Selatan selepas tampil konsisten di pentas Liga Malaysia (Liga-M) sebelum ini.
"Alhamdulillah, kami melepasi peringkat kumpulan (ACL 2022) dan ia bukan sesuatu yang mudah.
"Kami bekerja keras dalam saingan ini dan saya percaya kami mampu menjelmakan sesuatu esok (Jumaat),” katanya.