Bacaan Yasin JPPKK tersenarai Malaysia Book Of Records

Iklan
Zairon menerima penghargaan daripada Siti Hajar.

IPOH - Jabatan Pengajian Politeknik Kolej Komuniti (JPPKK) tersenarai dalam Malaysia Book Of Records apabila mencatatkan penyertaan terbesar bacaan Yasin serentak, melibatkan 36 Politeknik dan 102 Kolej Komuniti seluruh negara sempena program Yasin Hour hari ini.

Perkara berkenaan diumumkan oleh Ketua Eksekutif Am Malaysia Book Of Records, Siti Hajar Johor di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) hasil bacaan QR Code yang mencatatkan penyertaan 22,716 peserta di 148 lokasi Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara.

Iklan
Iklan

Mengulas lanjut, Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr Zairon Mustapha berkata, program berkenaan secara keseluruhannya telah menunjukkan semangat kerjasama serta iltizam yang sama dalam kalangan warga JPPKK.

Malah menurutnya, ia adalah selaras dengan agenda JPPKK bagi melahirkan lebih ramai graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.

Iklan

"Di Malaysia orang pilih Yasin untuk tunjukkan kesyukuran mereka. Jadi kita pilih Yasin untuk kita zahirkan kesyukuran kita. Lagipun, kalau tidak melalui agama apa lagi pilihan yang kita.

"Lagi pun sejak 1969 kita bersyukur adanya PUO dan kita dah lahirkan ramai intelek champion dalam bidang TVET, dan yang ada di industri dan jabatan kerajaan sekarang. Mereka inilah pemain penting khususnya dalam pembangunan negara kita," katanya pada sidang media hari ini.

Iklan

Hadir sama, Orang Besar Jajahan (OBJ) Kinta, Datuk Seri Azizul Hassan, Timbalan Pengarah Akademik PUO, Muhammad Zubir Mohd Hanifah dan Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan yang memimpin bacaan surah Yasin berkenaan.

Difahamkan, PUO sendiri telah mencatatkan sejumlah 2,909 penyertaan pada program berkenaan.

Malah, program berkenaan turut mencatat sejarah tersendiri apabila kesemua penuntut serta staf PUO membaca surah Yasin menerusi aplikasi yang dimuat turun di telefon pintar masing-masing.

Sementara itu Zairon berkata, biarpun tidak mencapai sasaran 50,000 penyertaan pada program Yasin Hour, pihak JPPKK tetap berbangga dengan kejayaan penganjuran program berkenaan.

"Kita juga berhasrat setiap tahun adakan program yang sama tahun hadapan kerana ia penting untuk bina insan," katanya.