KKR peruntuk hampir RM10 juta selenggara laluan alternatif

Iklan
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri) meninjau lokasi laluan Jalan Persekutuan F10, Seksyen 61 yang mengalami masalah jalan berpasir sewaktu hujan lebat. - Foto FB KKR

SHAH ALAM - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.7 juta bagi penyelenggaraan laluan Jalan Persekutuan FT010 iaitu Jalan Gemas-Rompin–Ayer Hitam–Kemayan yang merupakan laluan alternatif jika berlaku banjir dan juga pada musim perayaan.

Jelas KKR, pihaknya juga meluluskan peruntukan berjumlah RM2.68 juta untuk laluan Jalan Persekutuan FT11 yang merangkumi Lebuhraya Bahau–Keratong menuju ke Jempol.

Iklan
Iklan

"Laluan ini adalah laluan utama bagi perjalanan timur–barat Semenanjung dari arah selatan ke Lembah Klang.

"Ia adalah laluan alternatif bagi mengelak kesesakan trafik pada musim perayaan dan jika berlaku banjir di Pahang," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

KKR memaklumkan bahawa kos penyelenggaraan berkenaan adalah melibatkan kerja penyenggaraan rutin, berkala pavemen, berkala bukan pavemen dan penyenggaraan jambatan.

Ujar KKR, pihaknya turut terlibat dalam Projek Menaik Aras Jalan Serta Pengalihan Paip di Jalan Temerloh–Kemayan di Jalan Persekutuan FT10, Seksyen 122.00 – 122.10 daerah Temerloh, Pahang membabitkan kos sebanyak RM500,000.

Iklan

Tambahnya, projek tersebut dijalankan bagi menambah baik infrastruktur jalan yang sering dinaiki air jika hujan lebat berterusan.

Kata KKR, antara yang terkandung dalam projek tersebut adalah melibatkan kerja tanah, penurapan jalan, saliran, perabot jalan dan kerja-kerja berkaitan.

"Projek telah bermula pada Mac 2022 dan telah siap sepenuhnya pada Mei 2022.

"Laluan tersebut merupakan laluan alternatif kepada mereka dari pantai timur dari Pahang Barat yang mahu ke selatan tanah air tanpa perlu memasuki Kuala Lumpur,” katanya.

Jelas KKR, laluan tersebut dapat mengurangkan kesesakan yang sering berlaku pada musim perayaan di lebuh raya terutama di Plaza Tol Gombak dan Bentong.