Guru besar didakwa tuntut bayaran guna dokumen palsu

Iklan
Tertuduh (tengah) diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas selesai sebutan kesnya pada Jumaat.

KUANTAN - Seorang guru besar sebuah sekolah di Raub dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu dalam tuntutan bayaran pembekalan makanan untuk satu program sekolah, kira-kira lima tahun lalu.

Tertuduh, Lee Wai Teng, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan itu.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa mengemukakan dokumen tuntutan bayaran pembekalan makanan Program Klinik Sukan Prasekolah bertarikh 21 Oktober 2017 mengandungi butiran matan palsu mengenai pembekalan makan bagi program itu yang sebenarnya tidak dilakukan.

Tertuduh didakwa menyerahkan dokumen itu pada 6 Disember 2017 melalui seorang pembantu tadbir di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Lui, Raub.

Iklan

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir mata palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Iklan

Pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Tertuduh yang diwakili peguam, Chuah Shyue Chien ditawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dalam rayuan mewakili anak guamnya, Shyue Chien merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan tertuduh masih menyara lima anak termasuk ibu yang sudah uzur.

Menurutnya tertuduh juga memberi kerjasama sepanjang proses siasatan sejak tahun lalu.

Mengambil kira rayuan tertuduh, Ahmad Zamzani membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Raub bermula September sehingga selesai perbicaraan kes itu selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga selesai bicara.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 15 September depan.