KAJANG - Kerajaan bakal memperkenalkan skim simpanan pekerja asing sebagai usaha mengekang lambakan golongan itu yang tinggal lebih masa selepas 10 tahun bekerja di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kebanyakan pekerja asing enggan pulang ke negara asal disebabkan tiada wang simpanan ekoran telah dibelanjakan bagi menampung kehidupan di Malaysia selain hantar kepada ahli keluarga.
Namun katanya, perkara itu masih di peringkat kajian bagi memastikan keberkesanan skim berkenaan dalam membendung perkara berkenaan.
"Kita masih mengkaji dan dua perkara yang perlu diberi perhatian adalah peraturan Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang menetapkan kita tidak boleh membuat pungutan secara paksa.
"Kedua kita tidak mahu menambah beban kepada majikan buat masa ini dari segi bayaran, contohnya selepas inisiatif jaringan Keselamatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan gaji minimun yang telah dinaikkan.
"Mungkin terlalu awal untuk mengadakan satu lagi pertemuan, malah negara kini sedang mengatasi kelembapan ekonomi, dan pembangunan ekonomi kita pun semakin baik,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Diskusi Minda TV: Isu pekerja asing di Malaysia’ yang dianjurkan Majlis Profesor Negara (MPN) pada Jumaat.
Mengulas lanjut Saravanan berkata, skim simpanan tersebut wajar dilaksanakan supaya golongan berkenaan dapat pulang ke negara asal selepas tamat tempoh perkhidmatan.
"Simpanan ini hanya dapat dikutip di negara asal selepas 10 tahun. Jadi suka atau tidak, mereka (pekerja asing) kena balik, mungkin kita akan mengenakan syarat, dalam masa setahun jika tidak dituntut (simpanan) akan dilupuskan,” katanya.
Sementara itu beliau memaklumkan, bermula 1 September tahun ini, kemasukan pekerja asing termasuk tenaga mahir perlu mendapat kelulusan Jabatan Tenaga Kerja.
"Perincian mengenai perkara itu akan diumumkan dalam sidang media khas selepas mesyuarat kabinet minggu depan,” jelasnya.
Mengenai e-wages iaitu sistem bagi memantau pembayaran gaji pekerja sama ada pekerja asing mahupun tempatan, Saravanan berkata, perkara itu akan diumumkan kelak selepas urusan kemasukan pekerja asing selesai.
"Sistem ini membolehkan kita pantau pembayaran gaji dan upah pekerja dibuat pada atau sebelum setiap 7 hari bulan, akan dipastikan gaji masuk, jika tidak tindakan akan diambil,” katanya.