SHAH ALAM - Terdapat salah salah faham mengenai derma organ dalam kalangan umat Islam menyebabkan ramai mengelak jadi penderma organ.
Isu tersebut diterangkan menerusi Khutbah Jumaat di Selangor yang membawa tajuk 'Derma Organ Demi Kehidupan'.
Menurut teks khutbah itu, pemindahan dan derma organ dibenarkan oleh ulama melalui Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri seawal tahun 1970 dan institusi antarabangsa seperti Majma’ Fiqh Islami dan Lajnah Da’imah Arab Saudi.
"Pemindahan organ dibenarkan syarak atas alasan menjaga nyawa dan darurat yang menjadi asas kebenaran dilakukan apabila berlaku sakit yang mengancam nyawa.
"Memang benar terdapat hadis melarang mematahkan tulang mayat kerana dikira menyeksa jenazah, namun ia dilakukan tanpa sebab munasabah.
"Dalam hal ini, organ diambil untuk mengelak mudarat yang lebih besar iaitu kematian," menurut teks khutbah Jumaat diterbitkan oleh Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Teks khutbah itu menerangkan, ada juga berpandangan bahawa jasad orang beragama Islam adalah amanah ALLAH SWT maka tidak boleh diambil sesuka hati.
"Memang tubuh badan adalah amanah ALLAH SWT, namun kita berhak semasa hidup sahaja dan selepas mati, haknya hanyalah dimandi, disolat, dikafan dan dikebumikan sahaja.
"Derma organ akan memberi peluang kepada orang lain untuk terus hidup di mana nyawanya yang ingin diselamatkan juga adalah milik ALLAH," kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, sebahagian masyarakat juga takut bahawa penderma organ akan bangkit dengan jasad tak sempurna di Mahsyar kelak.
"Itu adalah andaian melulu serta meragui kuasa ALLAH yang mampu membangkitkan insan yang telah hancur luluh di alam kubur sebagai jasad yang sempurna di akhirat.
"Umat Islam hendaklah sentiasa yakin kuasa ALLAH SWT menghidupkan semula manusia dalam keadaan sempurna di akhirat," katanya.
Selain itu, terdapat anggapan penderma akan menanggung dosa penerima organ jika penerima membuat maksiat ataupun seorang kafir bukan muslim.
"Dalam hal ini, Islam menetapkan bahawa taklif (tanggungjawab) yang melakukan dosa atau pahala hanya kepada individu tersebut semata-mata.
"Dia tidak akan menanggung dosa orang, bahkan dia beroleh pahala berterusan kerana dermanya dan dari kebajikan serta doa si penerima.
"ALLAH SWT berfirman dalam surah al-An’am ayat 164: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain," katanya.
Katanya, umat Islam perlu yakin Islam adalah agama dinamik dalam perkara tertentu untuk kepentingan ummah seperti yang ditetapkan pemerintah dan pendermaan organ diharuskan Fatwa Negeri Selangor bilangan enam tahun 2019.