KUALA LUMPUR - Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan Tahun 2022 setakat 15 Ogos mencatat peningkatan sehingga 50.35 peratus berbanding 26.4 peratus pada 15 April lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Bilangan 2 Tahun 2022 yang dipengerusikannya hari ini dan turut dihadiri menteri-menteri kanan, ketua jabatan serta agensi.
"Semua kementerian digesa meningkatkan prestasi perbelanjaan. Peruntukan yang tidak dibelanjakan perlu diserahkan kembali kepada Kementerian Kewangan untuk diagihkan semula kepada kementerian-kementerian yang memerlukan,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Perdana Menteri berkata Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK12 dan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) akan terus meneliti isu serta cabaran semasa bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dalam tempoh RMK12 demi manfaat Keluarga Malaysia.
Selain itu, beliau berkata mesyuarat bersetuju supaya Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU JPM) menyediakan Kajian Separuh Penggal RMK12 bagi meneliti dan menyemak semula dasar serta sasaran sedia ada agar matlamat pembangunan yang disasarkan dapat dicapai dan proses itu akan bermula dari September tahun ini hingga September 2023.
Selaras dengan sasaran mencapai status negara berpendapatan tinggi yang inklusif serta mampan pada 2025, Ismail Sabri berkata mesyuarat bersetuju membuat pemantauan rapi dan berterusan ke atas pencapaian indikator utama.
Beliau berkata ia termasuk memastikan pelaksanaan intervensi yang perlu ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia, konflik geopolitik yang mempengaruhi kenaikan inflasi dan perubahan struktur ekonomi negara yang perlahan.
Katanya Malaysia telah menjadi negara menua pada 2021 dan dijangka menjadi negara tua pada 2044.
Perdana Menteri berkata negara menua ditakrifkan sebagai populasi berusia 65 tahun ke atas mencapai tujuh peratus daripada jumlah populasi manakala negara tua ditakrifkan sebagai populasi yang berusia 65 tahun ke atas mencapai 14 peratus daripada jumlah populasi.
Justeru itu, beliau berkata mesyuarat bersetuju dengan mekanisme mengarus perdana agenda negara menua dan penyediaan kerangka Agenda Negara Menua yang akan diselaras oleh EPU JPM.
Ismail Sabri berkata kerajaan juga komited untuk mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang hujung 2025 menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bermula pada akhir April tahun ini bagi fasa satu membabitkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) secara rintis.
Beliau berkata pelaksanaan BMTKM akan menggunakan pendekatan baharu yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan. - Bernama