Muhammad Fakhrul, Nur Aishah jagoan riben biru SUKIPT 2022

Iklan
Muhammad Fakhrul (dua dari kiri) meraikan kejayaan mengungguli acara 100 m lelaki.

RAJA pecut baharu Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022), Muhammad Fakhrul Abdul Aziz menyifatkan kejayaannya memenangi pingat emas acara pecut 100 meter (m) sebagai satu permulaan yang memberangsangkan.

Pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) itu berkata, temasya ini merupakan penyertaan pertama buat dirinya selepas tidak beraksi hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah ini rezeki ALLAH bagi. Walaupun saya tak bertanding lebih dua tahun atas sebab-sebab tertentu, tapi saya berjaya melakukannya di sini

"Selepas ini saya mahu fokus kepada Sukan Malaysia (Sukma) dan mahu buat lebih daripada ini untuk mencerahkan peluang saya meraih tempat dalam skuad kebangsaan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlumbaan.

Iklan

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris itu, Muhammad Fakhrul menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama dengan catatan masa 10.73 saat (s).

Perak dimenangi atlet Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohamad Raimi Mustaffa dengan catatan masa 10:87s manakala gangsa dimenangi wakil tuan rumah, Muhammad Yusridzwan Danial Yusof (10.88s).

Iklan

Sementara itu, gelaran ratu SUKIPT 2022, menjadi milik atlet dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nur Aishah Rofina Aling yang menamatkan perlumbaan 100m wanita dengan catatan masa 12.25s.

Perak dan gangsa dimenangi atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Eng May Xin Winnie (12.59 s) dan Darshini K Murugan (13.04 s).

"Alhamdulillah saya gembira dengan perlumbaan saya hari ini dan catatan masa yang dilakukan ini merupakan catatan terbaik saya tahun ini.

"Selepas ini saya mahu tumpukan untuk buat yang terbaik pula di Sukma yang akan berlangsung bulan depan,” kata Nur Aishah.