KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM7.5 juta dalam Program Jelajah Franchise Bay (PJFB) 2022 yang diadakan di Aeon Mall Shah Alam pada Jumaat sehingga Ahad ini.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, sekurang-kurangnya 30 potensi francais disasarkan dalam tempoh tiga hari tersebut dengan memberi tumpuan kepada masyarakat di Lembah Klang.
Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan Laporan Franchise Bay 2022 yang dilaksanakan di Sarawak, Johor dan Pahang sebelum ini dengan potensi pelaburan sebanyak RM93 juta.
"Melalui program ini, bakal peniaga francais didedahkan dengan sistem perniagaan francais, pakej latihan dan pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan.
"PJFB di Sarawak, Johor dan Pahang tahun ini menyaksikan sebanyak 304 potensi francais telah mendapatkan khidmat nasihat dan mengemukakan hasrat mereka menjadi francais.
"Ia menunjukkan potensi yang tinggi dan kefahaman rakyat terhadap francais ini perlu diperhebatkan lagi," katanya pada majlis perasmian PJFB di Aeon Mall Shah Alam pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kementerian turut menawarkan Program Francais Mikro dan Mampu Milik yang membuka peluang kepada usahawan dengan modal bawah RM100,000.
"Ini adalah satu inisiatif kementerian untuk membuka lebih banyak peluang perniagaan francais terutama dalam kalangan B40 dan M40 meningkatkan taraf hidup serta mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
"Antara jenama bersama kita pada hari ini yang menawarkan pakej Francais Mikro dan Mampu Milik adalah Procleaners, HOME Maths Therapy dan Ani Sup Utara," katanya.
Beliau juga menggalakkan lebih ramai graduan institusi pengajian tinggi, belia dan golongan yang sedang mencari pekerjaan untuk merebut peluang francais itu.
"Sebanyak 33 permohonan geran padanan berjumlah RM2.4 juta telah diluluskan oleh kementerian di bawah program Francais Mikro dan Mampu Milik manakala bagi permohonan geran penuh sebanyak 14 permohonan telah diluluskan. 33 geran padanan dan 14 geran penuh itu berjaya memanfaatkan sepenuhnya golongan B40 dan M40," katanya.