Disiplin pemain pacu kemenangan Sri Pahang FC

Iklan
Pemain Sri Pahang FC (tengah) cuba mengelak daripada terkaman pemain import Penang FC - Foto FB Sri Pahang FC

DISIPLIN tinggi dipamerkan kesebelasan Sri Pahang FC dilihat menjadi faktor utama kepada kemenangan skuad Tok Gajah ketika berdepan Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Khamis.

Pengendali Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh berkata, kesebelasan skuad Tok Gajah itu rata-ratanya telah menunjukkan tahap disiplin yang baik, biarpun masih keletihan setelah berdepan Melaka United FC (MUFC) di Stadium Hang, Jebat minggu lalu.

Iklan
Iklan

"Kita telah mengharungi tiga perlawanan dalam masa yang singkat dan setelah berdepan Melaka United, macam-macam hal yang berlaku kepada pemain, ada yang kena influenza, Covid (19), demam dan sebagainya.

"Memang mencabar perjalanan kita untuk mengharungi perlawanan ini tetapi saya tetap berikan tabik hormat kepada pemain dengan disiplin yang dipamerkan.

Iklan

"Malah dengan disiplin itu jugalah, mereka mampu berikan yang terbaik pada perlawanan kali ini,” katanya sejurus tamat perlawanan pada Khamis.

Pada perlawanan berkenaan Sri Pahang FC membuka jaringan pada minit ke-44 menerusi Anres Rodriguez sebelum pemain Penang FC, Rafael Vitor menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-65.

Iklan

Sembilan minit berselang Rodriguez kembali membawa Sri Pahang di depan menerusi gol keduanya pada minit ke-74 dan David Rowley mengukuhkan kedudukan dengan jaringan ketiga pada minit ke-80 sebelum penyerang Penang FC, Lucas da Silva menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-85.

Sementara itu, pengendali Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan mengakui kecewa dengan kekalahan berkenaan.

Katanya, biarpun ada sedikit peningkatan dari segi kecergasan pemain, namun masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya di benteng pertahanan pasukan.

"Secara keseluruhannya, kita memang kena bekerja lebih keras lagi, kita juga lepaskan gol-gol mudah dan ia membuktikan benteng pertahanan perlu diperbaiki,” ujarnya.