KOTA BHARU - Seorang penjual ayam maut selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah kereta di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di sini, pada Jumaat.
Kejadian berlaku pada jam 2 petang meragut nyawa Mohammad Syukrie Suludin, 29.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Ego dari arah Kota Bharu menghala ke Ketereh untuk menghantar ayam proses.
"Apabila sampai di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong, tiba-tiba datang sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang dipandu jururawat berusia 40 tahun dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.
"Mangsa tercampak dari motosikal dan terpelanting sejauh 50 meter manakala kereta dipandu wanita itu terbabas ke bahu jalan di laluan bertentangan sejauh 200 meter,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
"Pemandu kereta tersebut yang turut mengalami kecederaan parah di bawa ke Unit Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan lanjut," katanya.
Menurut Mohd Rosdi, mayat penjual ayam tersebut dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.