SHAH ALAM - Seramai 50 anak-anak istimewa di bawah Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan akan menempuh perjalanan selama lima jam dengan menaiki kereta api dari Wakaf Bharu ke Gua Musang, Kelantan bagi meraikan Program Malaysia #QuranHour 2022 pada 30 Ogos ini.
Pengerusinya, Wan Noriah Wan Ramli berkata, pelbagai aktiviti menarik juga akan diadakan, antaranya mengibar Jalur Gemilang, membaca ayat suci al-Quran dan berzikir semasa perjalanan ke lokasi program tersebut di Masjid Razaleigh, Gua Musang, Kelantan.
"Kita sudah menyewa satu gerabak kereta api dan akan bergerak pada jam 7.30 pagi, 29 Ogos ini. Anak-anak istimewa sindrom Down ini akan ditemani dengan pengiring masing-masing.
"Semasa berada di dalam kereta api, kita akan adakan sambutan kemerdekaan termasuk nyanyian lagu-lagu kemerdekaan dan mengibar Jalur Gemilang,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Wan Noriah berkata, sepanjang lima jam perjalanan menaiki kereta api akan turut dipenuhi dengan bacaan ayat suci al-Quran, zikir munajat dan bacaan Asma’ul Husna.
"Semasa dalam perjalanan itu bukan sahaja mengingat ALLAH dan membaca ayat suci al-Quran tetapi memupuk dan menerapkan semangat cintakan negara.
"Kita juga mahu mengajar anak-anak istimewa ini tentang erti kemerdekaan selain menyemarakkan lagi semangat merdeka dengan menerapkan mereka nilai-nilai dari al-Quran,” ujarnya.
Mengulas mengenai cabaran untuk mengendalikan anak-anak istimewa, Wan Noriah berkata, beliau mempunyai banyak pengalaman dan sudah biasa membawa mereka terlibat dalam pelbagai program tidak kira di dalam atau luar negara.
"Kita sudah membawa ahli persatuan sehingga ke Thailand dan Singapura, jadi tiada masalah untuk menguruskan mereka kerana kita anggap anak-anak ini seperti manusia normal.
"Tiada kesukaran sebab turut mendapat kerjasama daripada ibu bapa dari segi persediaan supaya anak-anak ini sihat dan bersedia untuk terlibat dalam program Malaysia #QuranHour itu nanti.
"Anak-anak ini juga tidak sabar untuk sama-sama membaca al-Quran dan sudah pasti ia akan memupuk pembudayaan al-Quran supaya diamalkan dalam kehidupan kita,” jelasnya.