PENAMPANG - Ketika negara sudah mencapai kemerdekaan lebih enam dekad namun masih ada penduduk di Sabah yang terpaksa berjalan kaki sehingga lapan jam demi mendapatkan barang keperluan seharian di pekan terdekat.
Itu yang berlaku kepada kira-kira 200 penduduk Kampung Terian, di sini, yang menganggap berjalan kaki selama lapan jam adalah rutin biasa bagi mereka jika keadaan cuaca kurang baik yang menyebabkan jalan tidak boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.
Kampung Terian yang terletak lebih 30 kilometer dari Penampang masih tidak mendapat akses jalan yang sempurna dan hanya pacuan empat roda atau motosikal yang boleh melalui jalan itu.
Malah, penduduk terpaksa meredah laluan mencabar bertanah merah, berlumpur serta berbatu besar selain terpaksa merentas Sungai Monongian dan Sungai Dulungan untuk ke Pekan Penampang.
Dolin Kayung, 60, berkata, walaupun kerajaan melaksanakan projek pertanian di kampung berkenaan dan menambah baik keadaan jalan berkenaan sejak lima tahun lalu namun bagi penduduk ia masih sukar untuk dilalui oleh kenderaan ringan.
"Jika keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda penduduk masih memerlukan perjalanan selama dua jam untuk sampai ke Pekan Penampang.
"Tetapi jika hujan, sungai memang tidak boleh dilalui kenderaan kerana paras air naik serta deras dan menyebabkan penduduk kampung terpaksa berjalan kaki selama 16 jam bagi perjalanan pergi dan balik dengan memikul lebih 10 kilogram barangan dapur untuk dibawa pulang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Terian baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk, Marin Bianis, 49, mengakui penduduk mengalami kesukaran untuk membawa hasil pertanian mereka untuk dijual di Pekan Penampang disebabkan keadaan jalan yang perlu ditempuhi.
"Rata-rata penduduk di sini menanam padi, halia dan mencari sayur-sayuran di hutan. Kadang-kadang saja kami dapat menjualnya di Pekan Penampang atau Tamu Dongongon disebabkan sukar untuk keluar.
"Pendapatan pula kurang daripada RM100 cukup sekadar untuk membeli barangan dapur dan tidak berbaloi untuk kami kerap keluar ke pekan kerana tambang saja sudah mencecah RM50," katanya.
Marin berkata, sebab itu mereka sanggup membawa hasil pertanian keluar untuk dijual dan pulang membawa barangan keperluan dengan berjalan kaki.
Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking berkata, peruntukan sebanyak RM102 juta sudah pun diluluskan pada 2019 daripada kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf jalan ke Kampung Terian dan berhampiran.
"Selepas pertukaran kerajaan pada Februari 2020 dan pandemik Covid-19 bermula kita tidak berputus asa mendapatkan maklum balas mengenai perkembangan status naik taraf jalan itu dan dimaklumkan bahawa usaha untuk tender akan dibuka pada 2021 selepas mengambil kira keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.
"Tetapi sekarang, masih tidak ada perkembangan dan saya dengar ia masih di bawah Kementerian Kewangan serta masih tunggu proses untuk menaik taraf Terian," katanya.
Beliau mengakui penduduk terutama pelajar sekolah mengalami kesukaran akibat keadaan jalan di kawasan berkenaan dan berharap kerajaan menpercepatkan projek menaik taraf jalan terbabit.
"Kita tahu jalan ini banyak cabaran dan khabar kita dapat bahawa pelajar terpaksa jalan kaki turun ke Moyog untuk ke sekolah dan diharap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengambil maklum serta mempercepatkan menaik taraf jalan berkenaan," katanya.