KOTA TINGGI - Dua wanita maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta berhampiran Felcra Dusun Panti dekat sini, pada Sabtu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II, Ibrahim Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada jam 10.51 pagi.
Katanya, susulan itu seramai 10 anggota dari BBP Kota Tinggi dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Empat mangsa yang cedera ialah Mohd Fahmi Aizat Mokhtar, 24, yang berada dalam Proton Wira manakala Junaidah Muhmad, 48, Liqwan Shah Nasution Lindung Saputra, 26, dan Lizwan Sharel Nasution Abdullah, 18, dalam kereta Proton Saga.
"Sementara dua mangsa lagi iaitu Titah Abd Ghani, 58, dan Samsiah Abdullah, 21, yang berada dalam Proton Wira tersepit di tempat duduk masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi. Mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
"Manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi menggunakan EMRS serta ambulans Kementerian Kesihatan (KKM)," ujar Ibrahim.