Hilang dua orang tersayang selang dua hari

Iklan
Suasana pilu menyelubungi SMK Lokman Hakim ketika solat jenazah tiga pelajar terbabit. - Foto kecil: Arwah Muhammad Syafawi.
KOTA TINGGI - Dugaan berat bagi seorang bapa di sini apabila berdepan dengan kehilangan dua orang tersayang hanya selang dua hari.

Zayadi Mohamad, 46 bapa kepada Muhammad Syafawi, 17 salah seorang pelajar yang maut selepas terlibat kemalangan petang semalam yang turut mengorbankan dua lagi pelajar bagaimanapun reda dengan ujian itu.

Zayadi Mohamad.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


"Dua hari lepas, adik bongsu saya meninggal dunia kerana sakit. Tak dapat bayangkan jika berlaku terhadap orang lain mungkin tak dapat lalui keadaan ini namun saya berserah kepada ALLAH.

"Kita semua hak ALLAH bila-bila masa Dia boleh ambil jadi kena reda walaupun terasa berat," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Lok Heng.

Mengulas mengenai perubahan anaknya, Zayadi berkata, akhir-akhir ini anaknya itu suka menyendiri, duduk berseorangan dan tidak seceria selalu.

Menurut bapa kepada enam orang anak itu, Syafawi anak kedua dalam keluarga merupakan anak yang baik dan tidak pernah menyusahkan orang tua sejak dari kecil.

"Berita kemalangan anak dimaklumkan oleh jiran sebelah semasa dalam perjalanan ke lokasi jiran sekali lagi hubungi memaklumkan anak sudah tiada.

"Dia anak paling senang dijaga dan seorang yang ringan tulang. Kalau saya bagi duit sekolah dia akan suruh bagi kepada adik-adiknya terlebih dahulu.

"Saya juga dapat rasakan pelukan dan ciumannya ketika bersalaman ke sekolah yang akhir-akhir ini amat berlainan luahan rasa sayangnya kepada saya," katanya lagi.

Jenazah Muhammad Syafawi bersama dua rakannya yang maut selepas terlibat kemalangan membabitkan dua kenderaan petang semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Lok Heng jam 11.30 pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiga pelajar maut, seorang guru cedera

Jenazah 3 pelajar dikebumi dalam satu liang lahad