KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak berhasrat untuk meminda peruntukan Seksyen 60 (1) Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 (Akta1534).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata masih terdapat peruntukan yang boleh diguna pakai bagi membantu bankrap keluar daripada kemuflisan, termasuk melalui pelepasan di bawah sijil Ketua Pengarah Insolvensi untuk kes yang telah ditadbir selama lima tahun atau lebih seperti dalam Seksyen 33A Akta Insolvensi1 967.
Mereka yang bankrap juga boleh membuat permohonan pelepasan di Mahkamah seperti dalam Seksyen 33 dan dan 105 Akta Insolvensi1967.
Mereka yang tergolong dalam empat kategori iaitu telah meninggal dunia, penjamin sosial, mengalami penyakit serius yang disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan dan Orang Kurang Upaya (OKU) boleh memohon sijil pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi seperti yang termaktub dalam Seksyen 33B (2A) Akta Insolvensi 1967.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai sama ada kerajaan berhasrat untuk meminda peruntukan berkenaan semasa sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, semasa Akta Kebankrapan dipinda pada 2017, terdapat lapan pindaan telah dikuatkuasakan pada 6 Okt 2017.
"Daripada lapan pindaan tersebut, hanya satu pindaan sahaja berkuat kuasa secara retrospektif iaitu Seksyen 33B (2A) Akta Insolvensi 1967 (Akta 360).
Pindaan lain bersifat prospektif, bertujuan mengimbangi kepentingan antara pemiutang dan orang yang bankrap.
Ia juga bagi membantu mereka yang bankrap menyelesaikan kes-kes kebankrapan dalam tempoh yang singkat.
"Sebagai contoh, permohonan Pelepasan Automatik mengikut Seksyen 33C telah membuka ruang yang baharu kepada mereka yang bankrap untuk menyelesaikan kes dalam tempoh tiga tahun dari tarikh pemfailan Penyataan Hal Ehwal.
"Pindaan-pindaan yang bersifat prospektif juga mempunyai mekanisme pelaksanaan yang berbeza dengan kes-kes kebankrapan yang ditadbir sebelum dari tarikh pindaan 2017 berkuat kuasa.
"Oleh itu, pindaan-pindaan yang dibuat pada 2017 tidak boleh berkuat kuasa secara retrospektif kecuali hanya satu peruntukan seperti yang dinyatakan,” kata Liew.- Bernama