SANDAKAN - Kesemua mangsa yang rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah teres di Taman Rajawali di sini pada malam Jumaat, sudah dikenal pasti.
Semua mangsa dikenali sebagai Chin Seong Vui, 54, dan isterinya, Lim Seong Chin, 52 serta ibu mereka, Lee Kiu Moi, 84.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua mangsa tinggal serumah di rumah teres dua tingkat berkenaan.
"Ketiga tiga mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, kes kematian ketiga-tiga mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, tiga individu ditemukan rentung di bahagian ruang tamu selepas rumah dua tingkat itu terbakar kira-kira jam 10 malam Jumaat.