SHAH ALAM - Polis merekodkan kutipan bayaran saman trafik berjumlah RM264,790 dalam tempoh dua hari pelaksanaan tawaran diskaun 50 peratus sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor yang berlangsung sekitar pekarangan Stadium Shah Alam, di sini, bermula semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, setakat jam 4 petang tadi, sebanyak 2,392 keping saman trafik atas pelbagai kesalahan telah dilunaskan orang ramai di lokasi berdekatan tapak khemah jualan dan kaunter bayaran saman trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Iklan
Iklan
Katanya, tawaran diskaun tersebut akan berakhir esok dan orang ramai boleh menyelesaikan tunggakan saman trafik dengan berkunjung ke AKM Selangor atau di IPD Shah Alam dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
"Semua kesalahan saman trafik akan diberi pengurangan kecuali kesalahan kemalangan; kesalahan kategori tidak boleh dikompaun; berstatus perbicaraan; kenderaan berat; memotong secara merbahaya; menggunakan lorong kecemasan; tidak patuh lampu isyarat merah; memotong di garis berkembar dan pengubahsuaian ekzos kenderaan,” katanya pada Bernama.
AKM Selangor yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu membawa tema ‘Usahawan Keluarga Malaysia Penggerak Ekonomi Negara’ dan akan melibatkan kira-kira 100 reruai usahawan industri kecil dan sederhana serta 109 aktiviti sepanjang tiga hari penganjuran.
Pelbagai kaunter perkhidmatan kementerian dan agensi juga dibuka bagi jelajah tersebut selain program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Jualan Murah Keluarga Malaysia yang bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam. - Bernama