MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengadakan rundingan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, minggu depan bagi membincangkan isu kenaikan harga tiket Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 21 hingga 23 Oktober ini.
Ahmad Faizal berkata, kenaikan harga tiket itu dilihat menjadi antara faktor yang menyebabkan penjualan tiket MotoGP, bermula April lalu, masih belum mencecah 50 peratus daripada jumlah keseluruhan.
"Saya amat yakin kerajaan negeri Selangor juga akan memberi perhatian serius kepada perkara ini kerana ia juga melibatkan penjanaan ekonomi daripada aspek pelancongan masuk ke dalam negeri tersebut.
"Jadi, tentunya mereka akan memberi pertimbangan sewajarnya bagi memastikan lebih ramai pengunjung akan datang menyaksikan kejohanan MotoGP pada tahun ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rukun Negara@Belia (RNB) di sebuah pusat beli-belah di Ipoh, pada Sabtu.
Pada 13 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, menjelaskan kelembapan penjualan tiket MotoGP pada tahun ini adalah disebabkan caj 25 peratus cukai hiburan yang dikenakan kerajaan negeri Selangor.
Beliau memaklumkan, cukai berkenaan menyebabkan harga tiket yang dikenakan meningkat, bermula pada kadar RM90 berbanding hanya RM40 pada tahun lalu.
Sementara itu, Ahmad Faizal optimis sasaran 170,000 penonton ditetapkan SIC akan dapat direalisasikan berdasarkan komitmen dan pengalaman luas selaku penganjur utama kejohanan tersebut.
"Kalau sebelum ini kita dapat tarik sambutan sehingga 120,000 penonton, saya percaya SIC akan berusaha dengan lebih kuat untuk kejohanan kali ini. Kalau tak dapat melepasi sasaran pun tidak mengapa, asalkan kita dapat kekalkan rekod sedia ada juga sudah dikira baik," katanya.
Mengulas mengenai program, hari ini, beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) melaksanakan Program Rakan Muda@Belia yang bertujuan memberi penekanan terhadap pemerkasaan semangat patriotik dalam kalangan belia berpaksikan kepada perlembagaan serta Rukun Negara.
Menurut Ahmad Faizal, platform berkenaan secara tidak langsung akan memupuk kesedaran serta mendidik golongan belia untuk memahami kepentingan kedua-dua komponen itu dalam kerangka sistem pentadbiran negara. - Bernama