PERSEDIAAN penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2022 berada pada landasan tepat apabila 95 peratus venue sudah bersiap sedia untuk menganjurkan temasya itu bermula 16 hingga 24 September ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias berkata, pada masa ini hanya tinggal sedikit kerja penambahbaikan yang perlu diselesaikan menjelang 27 hari sebelum temasya itu membuka tirai.
"Hanya beberapa kerja menaik taraf dan penambahbaikan dari sudut hiasan yang perlu dibuat, itu pun tidak melibatkan banyak venue. Selainnya kita bersedia selepas mendapat kerjasama daripada kementerian lain dan pihak berkuasa tempatan.
"Kebanyakan venue dimiliki MSN sendiri dan kerajaan negeri, jadi tidak melibatkan banyak perbelanjaan. Kita nak pastikan Sukma ini dapat dilaksanakan dengan perbelanjaan minimum, jadi ini akan meningkatkan minat negeri untuk menganjurkan Sukma," katanya ketika ditemui pada majlis undian sukan berpasukan Sukma di MSN pada Sabtu.
Kebanyakan venue bagi edisi ke-20 Sukma melibatkan empat zon sekitar Lembah Klang - Kuala Lumpur, Bangi (termasuk Nilai dan Putrajaya), Bukit Jalil dan Shah Alam - manakala hanya pelayaran dianjurkan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi.
Menurut jadual semasa, majlis perasmian pembukaan dan penutup akan diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi masing-masing pada 17 dan 24 September.
Sementara itu, Pengarah MSN Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, secara puratanya, 90 peratus kontinjen negeri berkenaan telah bersedia untuk mencapai sasaran mempertahankan kejuaraan keseluruhan yang dimenangi ketika kali terakhir Sukma dianjurkan di Perak pada 2018.
"Kami masih di peringkat akhir untuk menentukan berapa sasaran pingat terakhir kami pada kali ini, namun tiga sukan diharapkan menjadi lubuk emas, iaitu berbasikal dengan sememangnya Terengganu dikenali sebagai land of cyclists, serta perahu layar dan judo," katanya.
Beliau turut menjelaskan kontinjen itu telah kehilangan tiga emas menerusi acara 100m, 200m dan 4x100m wanita apabila ratu pecutnya, Azreen Nabila Alias tidak layak beraksi di edisi kali ini kerana telah beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Negeri dari Pantai Timur itu pernah merangkul gelaran juara keseluruhan Sukma sebanyak lima kali, apabila turut pernah menamatkan saingan di kedudukan pertama pada edisi 2008 di Kuala Terengganu, Melaka (2010), Pahang (2011) dan Kuala Lumpur (2012). - Bernama