KUCHING City FC memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri sebaik mungkin apabila mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas UiTM FC pada aksi Liga Premier di Stadium Negeri di sini malam ini.
Babak pertama perlawanan menyaksikan asakan demi asakan dilakukan anak buah Irfan Bakti Abu Salim namun tiada sebarang gol dapat dijaringkan oleh kedua-dua pasukan.
Bersambung ke babak kedua, tendangan mudah oleh Abu Kamara yang berlaku sekelip mata pada minit ke-49 menewaskan penjaga gol pelawat Mohamad Ramdhan Ab Hamid untuk meletakkan Kuching City FC di hadapan.
Tersentak dengan jaringan sulung tuan rumah, pertahanan UiTM FC kembali diperkukuh sekali gus berjaya menghalang usaha bertali arus pasukan Kuching City untuk menambah jaringan.
Namun, Abu Kamara sekali lagi berjaya mencuri tumpuan apabila menyempurnakan tendangan sudut yang diambil Gabryel Monteiro De Andrade untuk gol kedua pada minit ke-74.
UiTM FC merapatkan jurang empat minit kemudian menerusi pemain gantian Mohamad Amir Adha Mohd Latif.
Kemenangan malam ini menyaksikan skuad Kuching City FC menduduki tangga keempat liga dengan 27 mata manakala UiTM FC di tangga ketujuh dengan 14 mata. - Bernama