UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) menamatkan penantian pingat emas acara bola jaring Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 apabila menewaskan juara bertahan, Universiti Putra Malaysia (UPM) 17-15 pada Sabtu.
Dalam aksi di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), UiTM diberi tentangan sengit UPM sebelum bangkit di hujung permainan sekali gus memastikan pingat emas di bawa pulang ke Shah Alam.
Sementara itu, jurulatih UiTM, Addre Shah Naddra Din berbangga prestasi dipamerkan para pemainnya biarpun tidak memiliki kelibat pemain kebangsaan.
"Ini juga adalah edisi paling bermakna untuk saya kerana sebelum ini kami hanya berjaya menamatkan saingan di tempat kedua saja,” katanya selepas perlawanan.
Jelasnya lagi, kepercayaan tinggi yang diletakkan kepada barisan pemainnya juga menjadi pemangkin kepada kejayaan pasukan bola jaring UiTM.
"Saya letakkan kepercayaan sepenuhnya kepada 12 pemain yang dibawa. Saya percaya semua pemain boleh bermain dan akan sentiasa berikan yang terbaik.
"Tips saya kepada pemain iaitu sentiasa satu hati, satu kepala dan saling percaya satu sama lain. Itu saja yang saya selalu tekankan kepada pemain,” katanya.
Ini kali pertama UiTM memenangi acara bola jaring sejak kali pertama dipertandingkan di temasya SUKIPT.