MEMANG hebat usaha menerbitkan sebuah kisah bukan hikayat tetapi sejarah sebenar berkaitan penubuhan atau pembukaan sebuah pulau bernama Temasek dengan judul yang mengguna nama pengasasnya, Sang Nila Utama.
Dan secara kebetulan saya berada di seberang Selat Tebrau dari ‘Hujung Tanah’ yang kini dikenali dengan nama Johor ke Singapura, dahulunya dikenali dengan nama Temasek sebelum ia bertukar ke Singapura atau Kuil atau Kota Singa pada Hari Kebangsaan Singapura iaitu 9 Ogos yang berpisah dari Malaysia.
Kisah tentang Sang Nila Utama sebenarnya bukan sebuah kisah kecil. Ia sebuah nama besar, anak Raja Palembang yang diarah oleh bapanya Raja Palembang Sang Sapurba dianggap sebagai keturunan Iskandar Zulkarnain atau Alexander the Great yang mana telah menghantar empat orang anaknya pergi ke empat buah wilayah di Tengara Asia untuk ‘melihat laut’ yang bermaksud ‘untuk pergi mengembara’ ke benua belum diterokai dan buka negeri baharu.
Dan tradisi inilah juga digunakan oleh Sang Sapurba untuk mengarah empat anaknya sendiri ‘melihat laut’ membawa diri dan khususnya Sang Nila Utama diarah ke sebuah pulau tandus tanpa penghuni yang akhirnya diberi nama Temasek pada tahun 1299.
Nama Temasek ini pula ditukar ke Singapura oleh Parameswara, seorang suami puteri Palembang yang juga terpaksa ‘melihat laut’ atas sebab peribadi dan tindakannya yang mendatangkan padah kepada dirinya sendiri.
Beliau tinggalkan Palembang di Sumatera semasa zaman Srivijaya pada 1398 tanpa tahu apa yang bakal menanti sepanjang jalan khususnya di Temasek yang kini dikuasai oleh wakil Siam iaitu Raja Temogi.
Parameswara akhirnya berhenti di Temasek, di mana beliau membuat angkara dengan membunuh Raja Temogi, seorang pemimpin wakil Raja Siam yang murka menyebabkan Parameswara terpaksa menyeberang Selat Tebrau sehingga tiba di sebuah kawasan dan berteduh di bawah pokok Melaka yang diguna membuka negeri Melaka untuk dia menjadi raja pertama.
Parameswara juga orangnya yang menukar nama Temasek kepada Singapura apabila terserempak dengan binatang yang disangka ‘singa’ walhal ia mungkin ‘harimau’ sebab di Singapura atau Temasek tidak ada singa dan yang ada hanya harimau.
Semuanya itu terdapat dalam buku Sejarah Melayu dan Hikayat Melayu berkaitan dengannya yang telah diperturunkan sejak berkurun lalu.