Serangan terhadap institusi kehakiman negara

Iklan
Mahkamah Persekutuan. - Gambar hiasan

MINGGU pertama perbicaraan rayuan akhir melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan beberapa keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan menerima reaksi negatif daripada beberapa pihak.

Najib yang berhadapan dengan sabitan berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta sejak hari pertama prosiding melahirkan kekecewaannya terhadap keputusan yang diterima.

Iklan
Iklan

Ia selepas panel lima hakim yang dipengerusikan terdiri dari Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan peguamnya untuk memasukkan bukti baharu dan menangguhkan perbicaraan selama antara tiga hingga empat bulan.

Usaha pasukan pembelaan untuk mendapatkan penangguhan terus dilakukan sepanjang minggu pertama perbicaraan berkenaan, namun kesemua hakim kekal dengan keputusan tersebut

Iklan

Susulan daripada itu, Najib dalam kenyataan diberikan selepas prosiding perbicaraan pada Khamis, berkata hak beliau untuk mendapatkan perbicaraan yang adil sedang terancam.

Dalam pada itu, beberapa pimpinan tertinggi UMNO juga dilihat mempersoalkan keputusan dibuat oleh hakim menerusi kenyataan di sosial media, meskipun mereka tetap mengakui menghormati ketetapan yang dibuat.

Iklan

Pada masa sama, tindakan mempertikai keputusan dibuat hakim juga dilihat dilakukan oleh beberapa akaun sosial media termasuk dengan mempersoalkan kewibawaan Ketua Hakim Negara termasuk dengan membuat hantaran berunsur ugutan.

Susulan daripada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu memaklumkan seorang lelaki telah ditahan kerana tindakannya memuat naik komen berunsur ugutan terhadap Tengku Maimun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebelum itu pada Jumaat telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun.

Acryl Sani berkata, perkara itu merupakan isu serius dan siasatan terhadap kes ancaman berkenaan dilaksanakan walaupun tiada laporan polis dibuat setakat ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim pada Sabtu menyifatkan tindakan memberi ancaman kepada Ketua Hakim Negara itu merupakan satu hal yang melampau dan belum pernah berlaku dalam sejarah.

Katanya, sekalipun pihak kehakiman sebelum ini pernah mengendalikan kes-kes tinggi yang melibatkan hukuman tali gantung namun mereka tidak pernah menerima elemen-elemen bersifat ugutan.

Pada masa sama, Timbalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta agar serangan terhadap Hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut perlu dihentikan serta-merta.

Katanya, tindakan tersebut tidak beretika dan mengganggu badan kehakiman serta mengundang persepsi negatif selain memalukan nama baik negara.

Jelas beliau, serangan peribadi terhadap para hakim dan ahli keluarga mereka turut dibimbangi mewujudkan keadaan tidak tenteram termasuk mengancam kedaulatan undang-undang.

Dalam pada itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) turut memberikan peringatan tegas kepada pimpinan parti politik terutamanya UMNO agar menghentikan serangan yang dilakukan terhadap institusi kehakiman negara.

Majlis itu dalam satu kenyataan pada Sabtu menegaskan bahawa kebebasan institusi kehakiman perlu sentiasa dipertahan dan ia wajib kekal konsisten sebagai salah satu tonggak utama dan tiang seri negara.