KOTA BHARU - Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyita set peralatan karaoke, 30 pot dan 400 botol cecair vape pelbagai perisa di sebuah premis di Kampung Badang, di sini, pada Khamis.
Operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan MPKB-BRI bersama pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) bermula jam 10 malam.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, Jaheaik turut mengeluarkan kompaun kepada dua wanita yang tidak menutup aurat serta berhibur.
"Operasi melibatkan 34 orang anggota berserta pegawai yang memfokuskan premis perniagaan sekitar bandar Kota Bharu.
"Operasi bersama dilaksanakan untuk mengesan kesalahan di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB BRI) 2019 dan Enakmen Kanun Jenayah Syarian (1) 2019,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi MPKB-BRI pada Sabtu.
Beliau berkata, pada operasi sama, pihaknya mengenakan kompaun kepada sebuah premis dan menyita sarung telefon, kabel telefon serta bekas kad telefon yang kosong kerana menjalankan aktiviti judi dalam talian.
"Mereka dipercayai berselindung di sebalik kedai alatan telekomunikasi sebagai mengaburi mata pihak berkuasa.
"Selainnya, kami menyita sejumlah kerusi dan peralatan shisha yang ditinggalkan dalam keadaan masih berbara di luar sebuah premis di Kampung Demit Kubang Kerian yang dipercayai ditutup sejurus mengetahui pergerakan pasukan penguatkuasaan ke lokasi,” katanya.
Menurut beliau, sebuah lagi premis hotel di Jalan Tengku Chik, di sini dikesan gagal mempamerkan lesen premis perniagaan yang sah.
"Pihak Jaheaik tidak dapat membuat pemeriksaan ke bilik hotel kerana tidak mendapat kerjasama dari pihak hotel dan dipercayai berlaku aktiviti pelacuran.
"Operasi bersama tamat jam 3 pagi. Tindakan penguatkuasaan ini bertujuan untuk memelihara syariat agama Islam serta menjaga keharmonian dan kesejahteraan bandar Kota Bharu,” katanya.